Kenyataan Media

Standard Pengurusan Antirasuah Diperkenalkan Bantu Cegah Gejala Rasuah

 

PUTRAJAYA - Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui Jabatan Standard Malaysia (Standards Malaysia) dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah melancarkan sistem piawaian dikenali Malaysian Standard MS ISO 37001:2016 Anti-Bribery Management Systems (ABMS) bagi memberi panduan dan membantu sesebuah organisasi melaksana serta menambahbaik sistem pengurusan antirasuah dalam organisasi tersebut.

Malaysian Standard (MS ISO 37001:2016) ini dilaksanakan sebagai satu piawaian pencegahan rasuah kepada semua pihak khususnya organisasi komersial dalam persediaan menghadapi cabaran pelaksanaan peruntukan Korporat Liabiliti yang sedang dalam peringkat cadangan pindaan Rang Undang-Undang Akta SPRM 2009.

SPRM telah mengambil inisiatif dengan memohon agar piawaian ISO 37001 ini diterima pakai sebagai Malaysia Standard – MS ISO 37001:2016 bagi memperluaskan lagi penggunaan piawaian ini kepada pengguna atau organisasi di negara ini.

MS ISO 37001:2016 menggariskan pelbagai polisi dan prosedur yang boleh dipatuhi dan digunakan oleh organisasi sebagai ukuran kawalan sistem pencegahan rasuah bagi membantu syarikat atau organisasi melaksanakan sistem pengurusan yang efektif dalam mencegah, mengesan dan menangani rasuah yang boleh berlaku dalam sesebuah organisasi.

Pematuhan kepada MS ISO 37001:2016 boleh dijadikan ukuran bagi sesebuah organisasi melaksanakan sistem pencegahan rasuah yang efektif dan proaktif dalam menangani gejala rasuah.

Standard ini boleh dilaksanakan di semua jenis organisasi sama ada melibatkan syarikat swasta mahupun kerajaan, daripada berskala kecil, sederhana sehingga ke skala besar.

Ia dapat memberikan keyakinan kepada pelanggan dan rakyat tentang usaha-usaha yang diambil oleh kerajaan dalam mewujudkan persekitaran bebas rasuah. Selain meningkatkan imej dan integriti organisasi yang mematuhi standard ini, tadbir urus yang berintegriti adalah penting memandangkan rasuah merupakan gejala yang mampu meruntuhkan kualiti hidup masyarakat dan daya saing negara.

SPRM sebagai regulator pencegahan rasuah di Malaysia dan pemilik skim kepada Program Akreditasi ABMS yang bakal dilancarkan akan memastikan badan pensijilan yang diakreditasi oleh Jabatan Standard Malaysia adalah kompeten dan mempunyai pengetahuan tentang peruntukan undang-undang pencegahan rasuah di Malaysia.

Buat masa ini, pematuhan kepada MS ISO 37001:2016 adalah secara sukarela sehinggalah ianya diwartakan atau dirujuk dalam akta atau peraturan teknikal yang berkenaan.

MS ISO 37001:2016 juga telah dijadikan panduan dan rujukan utama bagi program pensijilan sistem pengurusan berasaskan ISO 37001 yang telah mula dijalankan pada bulan September tahun lalu.

Sehingga kini, terdapat 5,337 MS ISO 37001:2016 merentasi pelbagai sektor industri yang telah dibangunkan oleh MOSTI melalui Jabatan Standard Malaysia.

 

SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA & KEMENTERIAN SAINS, TEKNOLOGI DAN INOVASI

PUTRAJAYA

27 OKTOBER 2017

Muat Turun

Hubungi Kami

Ibu Pejabat SPRM
No. 2, Lebuh Wawasan,
Presint 7, 62250 Putrajaya.

+603-8870 0000
+603-8870 0901

Hak Cipta Terpelihara © 2020 Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Penafian |  Dasar Keselamatan |  Notis Hakcipta |  Dasar Privasi |