Kenyataan Media

SPRM Perjelas Isu Video Tular Dakwaan Pegawai Berlaku Kasar

Merujuk video yang ditularkan menerusi akaun Twitter sebuah parti politik yang mendakwa kononnya seorang pegawai berlaku kasar dan menghalau ahli-ahli parti tersebut dari pekarangan bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya ini ingin memperjelaskan isu tersebut agar tidak menimbul kekeliruan kepada orang ramai.

Harus diperjelaskan bahawa berdasarkan peraturan Kawasan Larangan Tempat Larangan (KLTL) yang diwarta terhadap bangunan tersebut, Bahagian Keselamatan SPRM hanya membenarkan tiga orang wakil pihak luar untuk masuk ke pekarangan dan dalam bangunan SPRM bagi bertemu pegawai bertugas untuk membuat aduan.

Rakaman video dan kamera juga tidak dibenarkan dalam KLTL tersebut tanpa kebenaran pihak Pengurusan Tertinggi SPRM.

Bagaimanapun didapati kira-kira tujuh daripada 25 individu dalam kumpulan itu telah masuk secara berdua-dua ke pekarangan SPRM sehingga ke pintu utama bangunan. Individu-individu tersebut juga tidak mematuhi peraturan KLTL kerana merekod video ketika berada di pekarangan dan dalam bangunan SPRM.

Kejadian itu berlaku dalam pekarangan bangunan Ibu Pejabat SPRM Putrajaya kira-kira jam 11.00 pagi hari ini.

Walau bagaimanapun, SPRM memandang serius insiden tersebut dan akan membuat siasatan lanjut. Sekiranya didapati berlakunya salah laku, Suruhanjaya ini akan mengambil tindakan yang sewajarnya.

Sementara itu, SPRM juga mengesahkan sudah menerima maklumat daripada ahli Parti Sosialis Malaysia, Dr. Jeyakumar Devaraj yang membabitkan dakwaan isu penyelewengan dalam urusan tanah kerajaan di Perak. SPRM akan mengkaji dan meneliti terlebih dahulu maklumat tersebut sebelum sebarang tindakan lanjut dijalankan.

Sebagai agensi pencegahan rasuah, SPRM sentiasa mengalu-alukan kerjasama daripada orang ramai untuk tampil ke mana-mana pejabat SPRM bagi membuat aduan berkaitan rasuah.

SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
PUTRAJAYA

21 APRIL 2022


Muat Turun

Hubungi Kami

Ibu Pejabat SPRM
No. 2, Lebuh Wawasan,
Presint 7, 62250 Putrajaya.

+603-8870 0000
+603-8870 0901

Hak Cipta Terpelihara © 2020 Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Penafian |  Dasar Keselamatan |  Notis Hakcipta |  Dasar Privasi |