Berita Pendidikan

KWSP Nyata Komitmen Perangi Rasuah Melalui IBR

Shah Alam, 16 Ogos - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memperlihatkan komitmen dalam agenda pemerkasaan integriti dan antirasuah dengan melaksanakan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) di Mercu KWSP, Kwasa Damansara hari ini.

Sesi IBR ini telah mengisi aturcara Program Ikrar Integriti Korporat Peringkat KWSP dengan disertai secara bersemuka oleh seramai 180 pegawai dan kakitangan di peringkat ibu pejabat. Ia turut diikuti secara atas talian oleh warga KWSP melalui aplikasi Teams di seluruh 69 cawangan dan jabatan di enam wilayah. 

Memulakan ucapan, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir, Pengerusi Lembaga KWSP menekankan mengenai kepentingan integriti dan tadbir urus yang baik agar menjadi indikator penting  dalam pengurusan  KWSP. Beliau turut menyeru agar semua warga KWSP bersama memainkan peranan dalam memastikan rasuah tidak membelenggu setiap tugasan di persekitran kerja.

Sementara itu, Datuk Razim Mohd Noor, Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM menyatakan sejak 2018 hingga Julai 2022, sebanyak 14 maklumat berkaitan rasuah di KWSP telah diterima oleh SPRM.

"Daripada keseluruhan maklumat, 5 atau 35.7% adalah berkaitan dengan rasuah dan salahgunakuasa. Manakala 7.14% melibatkan kes kanun keseksaan.

"Saya boleh katakan warga KWSP berada di landasan yang betul dalam mengurus isu integriti dan rasuah dalam organisasi. Memang, ada maklumat yang kami terima tetapi masih dalam keadaan terkawal," ujarnya lagi. 

Lafaz ikrar telah diketuai oleh Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Ketua Pengawai Eksekutif KWSP dengan disaksikan oleh Datuk Razim.


Hit : 2385