Berita Terkini

SPRM Cipta Sejarah Lahir Pegawai Terlatih, Berwibawa Tinggi

KUALA LUMPUR, 11 OKT. – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terus komited melahirkan pegawai berkepakaran tinggi dan terlatih bagi meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap tugasnya untuk memerangi rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa. Kursus Asas Pegawai SPRM Siri 24 Bilangan 1 tahun 2019 (Penguasa P41) merupakan perintis kepada Program Akreditasi Kursus Asas SPRM dan pengajian Post Graduate Diploma in International Law Enforcement: Anti-Corruption Leadership (Level 7) untuk tempoh sembilan bulan hari bekerja, menyaksikan kolaboratif di antara SPRM dan Nottingham Trent University (NTU), United Kingdom.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, seramai 56 orang pegawai kadet Penguasa Gred P41 telah berjaya menjalani kursus asas dan akan dianugerahkan Post Graduate Diploma in International Law Enforcement: Anti-Corruption Leadership (Level 7) setelah selesai melengkapkan modul kursus asas yang ditetapkan.

"Saban tahun, puluhan ribu permohonan diterima untuk menyertai SPRM. Anda semua seharusnya bersyukur kerana termasuk dalam kalangan insan terpilih yang diterima menjadi warga SPRM. Saya ingin mengambil peluang ini menyeru anda semua menghayati konsep kebersamaan dalam apa juga tindakan dan juga cabaran yang dihadapi. Kebersamaan ini adalah elemen yang penting di dalam menentukan kejayaan sesuatu organisasi."

"Begitu juga, jangan bersifat ‘Duri Dalam Daging’ yang akan meruntuhkan sesuatu organisasi yang telah kita bina dan sayangi ini. Berkhidmatlah dengan penuh taat setia kepada organisasi dan tidak menjadi parasit yang merosakkan," katanya.

Tambahnya, beliau mengharapkan kursus asas dan peralihan dapat membimbing pegawai SPRM baharu untuk menyesuaikan diri dengan suasana tugas di SPRM yang memerlukan pegawai-pegawai mempunyai tahap ketahanan mental dan fizikal yang tinggi serta berintegriti.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Tamat Latihan Kursus Asas Pegawai SPRM Siri 24 Bilangan 1 Tahun 2019 (Penguasa P41) dan Kursus Peralihan Siri 5 Bilangan 1 Tahun 2020 (Penguasa P42) yang diadakan di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) hari ini.

Dalam majlis tersebut, Ps Nur Athikah Aziz telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Terbaik Keseluruhan bagi Kadet Siri 24 Bilangan 1 Tahun 2019 (Penguasa P41). Ps Nur Sabrina Ali pula menyandang Anugerah Terbaik Akademik, manakala Ps Khairul Anuwar Kamarul Zaman menerima Anugerah Terbaik Latihan Luar. Sementara itu, hadirin turut berkesempatan meraikan Majlis Pelancaran Video Korporat Baharu MACA sejurus selesai Majlis Tamat Latihan.

Turut hadir menyerikan majlis ialah Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Dato’ Sri Ahmad Khusairi Yahaya; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Norazlan Mohd Razali; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Dato’ Junipah Wandi; Pengarah MACA, Dato’ Idris Zaharudin; Pengarah-Pengarah Kanan SPRM serta Pengarah-Pengarah Bahagian SPRM.


Hit : 3450