Berita Terkini

Kelemahan kepimpinan dorong berlaku rasuah, salah guna kuasa

KUALA LUMPUR 12 April -  Kelemahan kepimpinan dalam sesebuah organisasi dikenalpasti sebagai antara faktor utama yang mendorong berlakunya rasuah dan salah guna kuasa khususnya melibatkan penjawat awam di negara ini. 

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, oleh itu pemimpin sesebuah organisasi seharusnya melaksanakan amanah dan kuasa yang diberikan atas kapasiti jawatan untuk kepentingan umum dan bukan kepentingan diri sendiri.

"Selain itu, isu rasuah berlaku akibat sesebuah organisasi masih mengekalkan budaya lama seperti tidak peduli atau takut melaporkan kesalahan atas sebab kepentingan diri sendiri walaupun menyalahi peraturan dan undang-undang,” kata beliau.

Beliau berkata demikian ketika berucap kepada Ahli Lembaga Pengarah dan Jawatankuasa Pengurusan Bank Rakyat semasa program Bicara Santai bertajuk Cegah Rasuah : Hidup Megah, Organisasi Gagah anjuran Bank Rakyat.

Turut hadir Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Hj Abd Rani Lebai Jaafar dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Syed Abdul Aziz Syed Hassan.

Tambah Datuk Seri Azam, beliau yakin jika faktor pengisian kerohanian dalaman diri pegawai serta sistem organisasi dalam sesuatu organisasi dapat dimantapkan maka budaya rasuah, salah guna kuasa dan pecah amanah dapat dibanteras

Hit : 4734