Berita Terkini

Program NAYC 2021 Sebarluas Mesej Antirasuah

Tanjung Malim, 11 Apr. – Program National Anti-Corruption Youth Consortium (NAYC) 2021 telah dilaksanakan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 9 hingga 11 April lepas.

Program anjuran Anti-Corruption Student Force (ACF) ALUMNI dengan kerjasama Malaysia Reform Initiative (MARI) dan Bahagian Pendidikan Masyarakat (PenMas) SPRM ini telah dilaksanakan secara bersemuka dan atas talian dengan penyertaan 100 orang ahli Badan Bukan Kerajaan (NGO) Belia Negeri Perak.

Objektif program adalah untuk mendidik dan memberi pendedahan mengenai mesej antirasuah dan integriti dengan mendekati golongan anak muda yang berpengaruh untuk menjadi ‘mata dan telinga’ SPRM bagi menyalurkan maklumat berkaitan rasuah serta menyebarluas mesej antirasuah kepada masyarakat.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Dato' Sri Shamshun Baharin Mohd Jamil dalam ucapan perasmian sempena pelancaran Modul & Integriti E-games secara maya ini turut mengajak semua pihak terutamanya NGO Belia untuk memainkan peranan penting dalam menjayakan inisiatif Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) 2019 – 2023 yang telah digariskan oleh kerajaan.

“Agenda antirasuah perlu diletakkan sebagai agenda penting supaya Malaysia dikenali kerana integriti dan bukannya rasuah. Perasuah perlu dipandang keji dan rasuah perlu dijauhi. Kejayaan sesebuah negara dalam menangani jenayah ini adalah bergantung kepada sokongan masyarakat hasil kerjasama rapat dengan agensi penguatkuasa seperti SPRM,” tambahnya lagi.

Modul ini merupakan penzahiran komitmen ACF ALUMNI dalam melaksanakan tanggungjawab sosial kepada negara untuk menyokong agenda memerangi rasuah bersama SPRM. Ia akan diedarkan kepada Angkatan Mahasiswa Antirasuah (AMAR) seluruh negara sebagai instrumen rujukan aktiviti yang mempunyai mesej integriti dan antirasuah.

Hasil usaha ahli-ahli ACF ALUMNI ini akan turut didedikasikan kepada rakyat Malaysia agar penghayatan membenci rasuah dapat dilakukan secara bersama.

Turut hadir dalam majlis berkenaan adalah Timbalan Naib Canselor (TNC) Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UPSI (menjalankan fungsi Naib Canselor UPSI), Profesor Dr Md. Amin Md Taff; Pegawai Kanan MARI, Mohd Hanif Abdullah; Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah (Pengurusan Sekolah), Pejabat Pendidikan Daerah Batang Padang, Norazam Mat Isa dan Presiden ACF ALUMNI, Hariz Faisal Abdul Halim.


Hit : 2151