Berita Terkini

SUK Pahang Giat Mempromosi Liabiliti Korporat

KUANTAN, 1 April - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyambut baik penglibatan Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Pahang dalam mengadakan Program Taklimat Liabiliti Korporat Seksyen 17A Akta SPRM 2009 kepada Pengurus-Pengurus Government Linked Companies (GLC) dan Badan Berkanun Negeri Pahang.

Hadir pada Majlis Penutupan program adalah Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Dato’ Sri Shamshun Baharin Mohd Jamil.

“SPRM menyambut baik sokongan SUK Negeri Pahang dalam memerangi rasuah seperti mana penganjuran program hari ini dan menyarankan agar semua pihak terutama agensi korporat terus menyokong usaha membanteras rasuah di tempat kerja.

"Rasuah adalah jenayah serius yang perlu ditangani secara bersama dan bukan tanggungjawab SPRM semata-mata,” ujar beliau semasa menyampaikan ucapan alu-aluan program.

Terdahulu, satu taklimat berkaitan Peruntukan Liabiliti Korporat telah disampaikan oleh PKPj Muhd Nur Lokman Samingan dari Bahagian Pendidikan Masyarakat (PenMas), SPRM.

Taklimat ini bertujuan untuk mewujudkan kesedaran serta meningkatkan pemahaman pihak pengurusan SUK Negeri Pahang berhubung penguatkuasaan Seksyen 17A, pematuhannya serta langkah-langkah yang perlu diambil oleh organisasi komersial dalam memastikan tadbir urus mereka selari dengan kehendak peruntukan ini.

Turut hadir adalah Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehudin Ishak dan Pengarah SPRM Negeri Pahang, KPKPj Hairuzam Mohmad Amin@Hamim.

Hit : 2314