Berita Terkini

SPRM Johor Lancar CPP

JOHOR BAHRU, 15 Mac – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Johor hari ini telah melancarkan Cakera Padat Pencegahan (CPP) yang mengandungi mesej pencegahan rasuah untuk tujuan edaran kepada umum.

Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Dato’ Sri Shamshun Baharin Mohd Jamil di Kompleks Pejabat SPRM Negeri Johor, di sini.

Dalam ucapan perasmiannya, beliau berkata, pelancaran CPP ini adalah inisiatif baharu dalam menyampaikan mesej antirasuah yang telah dianjurkan sepanjang tempoh pandemik Covid-19.

“Saya berharap agar inisiatif SPRM Johor dalam menyebarkan mesej antirasuah dan mendidik masyarakat semasa tempoh pandemik Covid-19 telah berjaya mendekati masyarakat sekaligus memahami mesej yang hendak disampaikan.

“CPP mengandungi penerangan ringkas berkaitan kesan sekiranya tidak melapor rasuah dan maklumat asas berkaitan Peruntukan Liabiliti Korporat Seksyen 17A Akta SPRM 2009. Sebanyak 100 cakera padat telah dicetak untuk diedarkan pada fasa pertama dan ia akan ditambah dari masa ke masa berdasarkan permintaan,” katanya.

Sementara itu, seramai 40 wakil media daripada Kelab Media Johor turut diraikan dan diberikan penghargaan dalam majlis tersebut.

Turut diadakan acara penyampaian sumbangan 'kongsi rezeki' oleh Datin Sri Nik Asmat Nik Hussin selaku Timbalan Pengerusi I PUSPANITA SPRM kepada kakitangan SPRM Negeri Johor gred 19 dan ke bawah.

Turut hadir dalam majlis tersebut Pengarah SPRM Negeri Johor, Dato’ Azmi Alias; Pengerusi PUSPANITA SPRM Negeri Johor, Datin Halidah Abdul Aziz dan Presiden Kelab Media Johor, Mohamad Fauzi Ishak.

Hit : 2195