Berita Terkini

Seksyen 17A Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Berkuat Kuasa Pada 1 Jun 2020

Pelaksanaan peruntukan liabiliti korporat membabitkan organisasi komersial di bawah seksyen 17A Akta SPRM 2009 berkuat kuasa pada 1 Jun 2020.

Perkara ini telah diumumkan menerusi kenyataan media Pejabat Perdana Menteri pada 21 Mei 2020 dan susulan itu penetapan tarikh permulaan kuatkuasa pemakaian seksyen 17A Akta SPRM 2009 telah dikeluarkan melalui kuasa Menteri menerusi Warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 27 Mei 2020.

Pindaan peruntukan ini dan beberapa pindaan seksyen lain, sebelum ini telah dilaksanakan melalui Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (Pindaan) 2018 (Akta A1567). Sejurus pindaan ini diwartakan pada 4 Mei 2018, seksyen 17A Akta SPRM 2009 telah diberikan tempoh grace period selama dua tahun untuk memberi ruang kepada organisasi komersial bagi melakukan persediaan sewajarnya.

Peruntukan di bawah Seksyen 17A Akta SPRM 2009 adalah suatu peruntukan yang menetapkan prinsip liabiliti korporat yang mana organisasi komersial adalah melakukan suatu kesalahan jika mana-mana pekerja dan/atau pihak bersekutunya melakukan rasuah untuk faedah organisasi tersebut. Organisasi komersial tersebut boleh disifatkan bersalah dalam keadaan sama ada atau tidak, pihak pengurusan atasannya atau wakilnya tahu tentang kelakuan rasuah yang dilakukan oleh pekerja atau pihak bersekutunya.

Kesalahan oleh organisasi komersial ini menetapkan bahawa adalah menjadi suatu kesalahan sekiranya mana-mana pekerja atau pihak bersekutunya melakukan perbuatan rasuah bagi faedah organisasi tersebut. Peruntukan baharu ini mendorong organisasi komersial mengambil langkah yang wajar dan selari bagi memastikan perniagaan dijalankan dengan integriti tanpa rasuah.

Jika sesebuah organisasi komersial disabit kesalahan di bawah Seksyen 17A, hukuman di bawah Seksyen 17A(2) adalah denda tidak kurang 10 kali ganda daripada nilai suapan atau RM1 juta, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, atau dipenjara sehingga 20 tahun, atau kedua-duanya sekali. Bagaimanapun organisasi korporat boleh membela diri jika dapat menunjukkan bahawa mereka mempunyai ‘Tatacara Mencukupi' dalam operasinya.

Keputusan kerajaan untuk meneruskan penguatkuasaan Seksyen 17A Akta SPRM 2009 dibuat setelah mengambil kira perkembangan situasi semasa dan pandangan semua pihak, maka dengan itu kerajaan konsisten dengan pendirian kukuh menetapkan bahawa pelaksanaan undang-undang Liabiliti Korporat ini kekal berkuat kuasa mulai 1 Jun 2020.

Untuk maklumat lanjut boleh rujuk :

1. Garis Panduan Tatacara Mencukupi

2. Akta SPRM Penetapan Tarikh Permulaan Kuat Kuasa

 

Hit : 61084