Berita Menarik

UTP Johan Pertandingan Debat Antirasuah IPT Piala Ketua Pesuruhjaya SPRM 2023

Kota Kinabalu, 8 Jun – Universiti Teknologi Petronas (UTP) dinobatkan sebagai johan Pertandingan Debat Antirasuah IPT Piala Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2023 yang telah diadakan di Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini hari ini.

Barisan tiga pendebat UTP yang bertindak sebagai pihak pembangkang menerusi debat bertajuk "Dewan Ini Akan Memperkenal Dasar Neoliberalisme Bagi Membendung Ketirisan Subsidi Kerajaan", telah membawa pulang hadiah berupa piala pusingan, piala iringan, wang tunai RM12,000 berserta sijil pencapaian.

Kemenangan pasukan UTP menjadi lebih bermakna apabila pendebat pertamanya, Nurul Izzah Nasuha Zulmuksah diumumkan sebagai pendebat terbaik pusingan akhir yang membawa pulang hadiah wang tunai RM1,500 dan sijil pencapaian.

Naib johan pula dimenangi pasukan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang membawa pulang hadiah berupa piala iringan, wang tunai RM6,000 berserta sijil pencapaian.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dato' Sri Haji Azam Baki dalam ucapan perasmiannya berkata, generasi muda perlu dibentuk agar patuh kepada undang-undang supaya Malaysia menjadi negara yang aman dan bebas rasuah, berdisiplin serta berintegriti tinggi.

Beliau turut menegaskan bahawa pendedahan tentang impak rasuah serta salah guna kuasa perlu diberi penekanan dari awal dan pertandingan debat ini merupakan platform paling tepat bagi mendengar pendapat termasuk pandangan generasi muda ini berkaitan rasuah.

"Mahasiswa-mahasiswi adalah bakal pemimpin negara, justeru, mereka perlu mempunyai integriti dan sahsiah yang baik dalam melahirkan pemimpin yang berkualiti dalam mentadbir negara pada masa akan datang," katanya.

Sementara itu, Nurul Izzah Nasuha ketika ditemui berpendapat bahawa usaha SPRM dalam menyebarluas mesej antirasuah kepada golongan muda perlu dipergiatkan agar lebih menyeluruh.

“Saya kira pertandingan ini sangat relevan diadakan kerana melaluinya saya didedahkan dengan banyak info berkaitan antirasuah selain dapat memberi pandangan sebagai suara mewakili golongan muda," katanya.

Hadir sama, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Norazlan Mohd Razali; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Prof. Madya Dr. Raman Noordin; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UTP, Prof. Dr. Nor Hisham Hamid; Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat (PenMas) SPRM, Datuk Razim Mohd Noor; Pengarah SPRM Sabah, Datuk Karunanithy Y. Subbiah dan Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah, Puan Aminah Awang Basar.

Hit : 1174