Berita Menarik

Beri suapan keluarkan laporan kesihatan warga asing, dua direman

Kuching: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman dua individu kerana disyaki memberi suapan kepada sebuah klinik bagi mengeluarkan laporan kesihatan dua warga asing yang masih berada di depoh tahanan di Miri.

Sumber berkata, suspek pertama iaitu seorang wanita berusia 30-an, yang bertindak sebagai orang tengah kepada sebuah syarikat bagi urusan itu.

Menurutnya, wanita itu yang dipercayai melakukan perbuatan itu pada Februari dan Mac 2020 ditahan di pejabat SPRM Miri kira-kira jam 8 malam, Rabu lalu.

Suspek kedua pula seorang lelaki berusia 40-an yang juga pemilik syarikat ditahan pada kira-kira jam 3 petang, semalam di pejabat SPRM, Miri.

"SPRM masih menyiasat bagaimana kedua-dua suspek berjaya mengeluarkan laporan perubatan itu tanpa memerlukan kehadiran warga asing untuk diperiksa secara bersemuka sedangkan mereka ditahan di depoh tahanan.

"Suspek pertama direman selama tiga hari bermula 11 Mei hingga 14 Mei 2023 manakala suspek kedua selama dua hari bermula 12 hingga 14 Mei 2023.

"Perintah tahanan reman itu dikeluarkan oleh Majistret Nazira Adlin Ahmad Khairul Razi, di Mahkamah Majistret Miri," katanya.

Dalam kes berasingan, dua penjawat awam ditahan kerana disyaki menerima wang suapan berjumlah kira-kira RM18,000 daripada pemilik sebuah syarikat yang mengendalikan kerja-kerja menyediakan kemudahan berkaitan elektrik dan bumbung di sebuah bangunan kerajaan di negeri ini, tahun lalu.

Kedua-dua suspek lelaki yang berusia dalam lingkungan 30-an dan 50-an itu ditahan kira-kira jam 11 malam semalam di Pejabat SPRM Kuching ketika hadir memberi keterangan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sarawak, Mohd Zaki Hassan, ketika dihubungi mengesahkan kedua-dua kes itu.

Beliau berkata, Sementara itu Pengarah SPRM Sarawak, kes pertama disiasat mengikut Seksyen 16(b) (A) Akta SPRM 2009 manakala kes kedua disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009.

Sumber : Berita Harian

Hit : 1822