Berita Menarik

Blogger minta suapan RM1.3 juta dari syarikat IT direman dua hari

Putrajaya: Seorang blogger lelaki ditahan reman dua hari hari bagi membantu siasatan berkaitan dakwaan rasuah dalam satu projek bernilai kira-kira RM41 juta di sebuah kementerian.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin bermula hari ini, selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat permohonan di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Menurut sumber, suspek yang mempunyai ramai pengikut dipercayai sudah menerima rasuah kira-kira RM1.3 juta dari sebuah syarikat teknologi maklumat (IT) sekitar 2020.

Sumber itu berkata, permintaan dan pembayaran rasuah ini dipercayai dilakukan sebagai dorongan kepada suspek untuk melobi supaya syarikat berkenaan berjaya dalam perolehan kontrak berkaitan.

Difahamkan, selain daripada isu jenayah rasuah, SPRM juga akan melihat bagaimana tatacara perolehan projek ini dilaksanakan.

Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

Sumber : Harian Metro


Hit : 1696