Kolumnis@SPRM

Inisiatif papar garis masa bukti ketelusan SPRM

Noor Mohamad Shakil Hameed

Timbalan Ketua Panel Pemikir Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW)


Inisiatif terbaharu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaparkan garis masa untuk memudahkan orang ramai meneliti perjalanan lengkap, siasatan dan perbicaraan kes rasuah berprofil tinggi serta berkepentingan awam wajar dihargai.


Pendekatan ini membuktikan ketelusan dan profesionalisme SPRM mengendalikan sesuatu siasatan terutama kes menjadi tumpuan khalayak, sekali gus membendung segala persepsi, fitnah mahupun tohmahan dilemparkan kepada institusi itu terhadap status kes dibuka dan sedang disiasat.


Antara kes berprofil tinggi dipaparkan membabitkan dua bekas menteri, iaitu bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman serta Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isteri, Datin Seri Zizie Izette A Samad serta isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.


Masyarakat perlu mengambil peluang ini untuk mendapatkan maklumat rasmi secara betul dan tepat berdasarkan fakta perkembangan sesuatu kes sedang disiasat dari mula hingga ke akhir. Ini juga akan menutup segala ruang penyebaran berita palsu mengenai sesuatu kes yang sering mengelirukan rakyat selama ini.


Yakin kemampuan SPRM 


Dalam konteks ini, apa diharapkan ialah masyarakat meyakini kredibiliti dan kemampuan SPRM melaksanakan tugas serta tanggungjawab dengan amanah dan integriti. Kita tidak boleh hilang keyakinan dan kepercayaan terhadap institusi penting seperti ini yang diletakkan harapan besar memerangi amalan rasuah dan salah laku.


Hakikatnya, tuduhan seperti melakukan siasatan terpilih atau tidak mengambil sebarang tindakan terhadap sesuatu aduan terutama kes berprofil tinggi sangat tidak berasas serta berniat jahat untuk menjatuhkan kredibiliti SPRM di mata rakyat.


Masyarakat tidak boleh melayan atau membiarkan tuduhan liar seperti ini, sebaliknya perlu menzahirkan sokongan supaya SPRM lebih bersemangat menguatkuasakan undang-undang dan peraturan demi membersihkan negara daripada amalan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan.


Ini penting kerana ketika SPRM dilihat semakin agresif memburu dan mengambil tindakan terhadap individu serta organisasi terbabit dengan pelbagai salah laku integriti terutama membabitkan dana rakyat, semakin banyak tohmahan dan fitnah terhadap agensi ini disebarkan.


Ini juga menunjukkan ada pihak tidak senang duduk dengan tindakan SPRM lantas cuba menyerang institusi itu dengan pelbagai tuduhan dan fitnah bagi mengaburi mata rakyat. Justeru, rakyat perlu bijak membezakan antara fakta dengan fitnah, seterusnya mempertahankan institusi ini sebaik mungkin supaya anggota dan pegawai dapat melaksanakan tugas tanpa sebarang halangan.


Diharapkan inisiatif terbaharu ini dapat membantu menangani isu persepsi dan ketidakpercayaan masyarakat tidak berkesudahan terhadap SPRM.


Penafian : Tulisan ini adalah pandangan penulis dan tiada kaitan dengan pendirian rasmi SPRM.   


Hit : 1682