Berita Terkini

Kes 1MDB (Pemulangan Aset)

Siasatan SPRM

Pasukan Penjejakan Aset 1MDB diwujudkan pada tahun 2018 bagi menjejak dan memperoleh semula dana negara yang hilang akibat skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pasukan ini dianggotai SPRM, Jabatan Peguam Negara, Polis Diraja Malaysia, Kementerian Kewangan Malaysia, Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional.

Proses menjejak dan memperoleh semula dana 1MDB dilaksanakan dengan kerjasama beberapa agensi antarabangsa iaitu Department of Justice Amerika Syarikat (DOJ), The International Anti-Corruption Coordination Centre (IACCC) United Kingdom, Attorney General of Switzerland, dan pihak berkuasa negara Singapura, Indonesia, Belanda, Perancis, Luxembourg, Barbados, Seychelles, China dan Hong Kong.

Usaha ini turut menggunakan platform rejim pengubahan wang haram (money laundering regime) di bawah The Financial Action Task Force (FATF), The United Nations Office on Drugs and Crime (UNODC), The United Nations Asia and Far East Institute for the Prevention of Crime and the Treatment of Offenders (UNAFEI) dan beberapa kesepakatan lain.

Sepanjang tahun 2021, aset dan dana 1MDB yang berjaya dijejak dan dipulangkan kepada Kerajaan Malaysia adalah seperti berikut:

  • Pada bulan Februari 2021, AMMB Holdings Berhad bersetuju untuk membayar RM2.83 bilion sebagai penyelesaian tuntutan tertunggak berkaitan penglibatan AmBank dalam skandal 1MDB. Perkara ini adalah susulan rundingan Kerajaan Malaysia dengan Goldman Sachs pada Julai 2020 yang berjaya memeterai penyelesaian sebanyak RM15.8 bilion (AS3.9 bilion);
  • Pada bulan Mei 2021, pemulangan fasa ketiga oleh DOJ, Amerika Syarikat berjumlah RM1.9 bilion. Penyelesaian ini melibatkan aset-aset Jho Low yang dilucut hak oleh Department of Justice, Amerika Syarikat;
  • Pada Jun 2021, Deloitte PLT memulangkan RM336 juta kepada Kerajaan Malaysia. Pemulangan ini merupakan penyelesaian semua tuntutan yang berkaitan dengan tanggungjawab fidusiari mereka dalam pengauditan akaun 1MDB dan SRC International Sdn. Bhd. bagi tempoh 2011 hingga 2014;
  • Pada bulan Jun 2021, pemulangan secara sukarela oleh warganegara Malaysia di Taiwan iaitu Vincent Toh Beng Huat sebanyak RM2,800,000. Beliau telah menerima wang itu daripada dana 1MDB;
  • Pada 22 Julai 2021, Penasihat Undang-Undang UMNO, Datuk Wira Mohd Hafarizam bin Harun bersetuju untuk membayar kompaun sebanyak RM590,587.26;
  • Pada 30 Julai 2021, penasihat media kepada Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak iaitu Paul Stadlen diarahkan untuk memulangkan wang berjumlah RM7.192 juta kepada Akaun Amanah Kerajaan Malaysia. Arahan ini adalah seperti mana Seksyen 60(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2002 (AMLATFPUAA 2001);
  • Pada 13 September 2021 dengan bantuan Jabatan Hal Ehwal Komersial (CAD) Singapura, Kerajaan Malaysia menerima pemulangan dana daripada Datuk Dr. Tawfiq Ayman menerusi syarikat miliknya, Cutting Edge Industries Ltd. (Singapura) sebanyak RM31,326,697.05;
  • Pada 23 September 2021, Kerajaan Malaysia memperoleh semula RM16,622,133.46 daripada Samuel Goh, seorang warganegara Singapura yang menerima dana daripada 1MDB;
  • Pada 29 September 2021, Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad bin Maslan bersetuju membayar kompaun di bawah Seksyen 92 AMLATFPUAA 2001 yang berjumlah RM1,100,000.00;
  • Pada 12 November 2021, sebanyak RM3,718,697.06 telah dipulangkan kepada Kerajaan Malaysia daripada bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International, Nik Faisal Ariff Kamil;
  • Pada Disember 2021, sebanyak RM477,925.00 telah diterima daripada Department of Justice, Amerika Syarikat melalui penjualan barang kemas dua (2) artis antarabangsa, Miranda Kerr dan Kasseem Dean (Swiss Beatz);
  • Pada Januari 2022, KPMG telah membayar kepada Kerajaan Malaysia berjumlah RM 333 juta untuk menyelesaikan semua tuntutan yang berkaitan dengan tugas fidusiarinya dalam mengaudit akaun 1MDB bagi tempoh 2010 hingga 2012;
  • Pada Mac 2022, sebanyak RM 31.95 juta telah diterima kerajaan Malaysia dengan bantuan Jabatan Hal Ehwal Komersial (CAD) Singapura daripada Vincent Cheah Chee Kong;
  • Pada 7 November 2022, Dato’ Rohana Rozhan telah memulangkan wang berjumlah RM32.43 juta kepada kerajaan Malaysia hasil penyelewengan dana 1MDB;
  • Pada 27 Februari 2023, pihak Menteri Kewangan (Diperbadankan) bersama 1MDB telah menandatangani perjanjian berhubung penyelesaian pertikaian di Mahkamah Timbangtara Antarabangsa London dan Mahkamah Tinggi London dengan International Petroleum Investment Company (IPIC) dan Aabar Investments PJS (Aabar PJS). Dalam perjanjian ini, IPIC dan Aabar PJS telah bersetuju untuk membayar USD1.8 bilion kepada Menteri Kewangan Diperbadankan dan 1MDB.

Secara keseluruhannya, Kerajaan Malaysia telah berjaya memperoleh semula RM28.3 bilion aset dan dana 1MDB sejak tahun 2018.

Maklumat ini telah dikemaskinikan pada 4 Mei, 2023


Status Kes

Usaha sedang dijalankan untuk mendapatkan semula aset-aset milik 1MDB.


Laporan Media

Kenyataan Media

Hit : 1876