Berita Menarik

2 didakwa tipu tuntutan bekal makanan asrama sekolah RM52,514

KUCHING: Dua individu didakwa di Mahkamah Sesyen Bintulu, di sini, atas lapan pertuduhan membuat tuntutan palsu berkaitan pembekalan bahan mentah asrama sekolah membabitkan nilai keseluruhan RM52,514.

Tertuduh iaitu pengurus syarikat, Malik Ibrahim, 49 dan pembantu pengurusan murid prasekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Kebulu di Sebauh, Erlina Zulkifli, 40, didakwa menggunakan invois palsu dalam tuntutan itu yang dilakukan antara 2015 dan 2016.

Kedua-dua tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Steve Ritikos.

Berdasarkan pertuduhan, Erlina didakwa menggunakan lapan invois palsu yang dikeluarkan Malik atas nama perniagaan Maisuz Enterprise sebagai dokumen sokongan untuk membuat tuntutan pembekalan makanan mentah asrama ke SK Kuala Kebulu Sebauh bernilai RM 52,514.

Bagaimanapun, hasil siasatan mendapati pembekalan makanan mentah itu tidak pernah dibuat.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abdul Latif mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, dengan kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Steve kemudiannya membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM7,000 setiap seorang dengan masing-masing dua penjamin, manakala 11 Mei ditetapkan sebagai tarikh pengurusan kes.

Sumber : Berita Harian


Hit : 10194