Berita Menarik

Anggota polis direman bantu siasatan kes rasuah

IPOH: Seorang anggota polis berpangkat Sarjan direman enam hari mulai hari ini bagi membantu siasatan kes rasuah, tahun lalu.

Lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam sebelum dibawa ke Mahkamah Majistret di sini hari ini untuk permohonan reman.

Majistret S. Punitha membenarkan permohonan SPRM untuk menahan reman suspek sehingga Rabu depan.

Tempoh reman itu dipohon bagi membolehkan siasatan lanjut dibuat ke atas suspek mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Terdahulu, suspek tiba di pekarangan mahkamah sekitar pukul 10.45 pagi dengan berpakaian lokap SPRM.

Difahamkan, lelaki terbabit yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah ditahan kerana meminta dan menerima rasuah antara RM1,500 hingga RM10,000 daripada penagih dan pengedar dadah di sekitar daerah Perak Tengah.

Semalam, dua anggota polis berpangkat sama direman lima hari sehingga Isnin depan untuk membantu siasatan bagi pertuduhan serupa.

Permohonan reman terhadap dua suspek termasuk seorang anggota polis wanita itu dibenarkan oleh Majistret Jessica Daimis di Mahkamah Majistret Ipoh.

Sementara itu, Pengarah SPRM Perak, Datuk Mohd. Fauzi Mohamad ketika dihubungi mengesahkan kes berkenaan dan memberitahu siasatan lanjut sedang dijalankan. – UTUSAN


Hit : 1477