Berita Menarik

Lans Koperal dituduh ambil rasuah RM900 sebak, rayu jaminan dikurangkan

Butterworth: Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tiga pertuduhan menerima rasuah RM900 pada 2016 hingga 2018.

Tertuduh, Muhamad A Jalalal, 33, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh ketika itu bertugas di Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (Unit Operasi Lebuhraya Zon Utara 3) dikatakan menerima RM300 daripada sebuah syarikat perkhidmatan pengangkutan pada 19 November 2016.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Bahru, Taman Chai Leng Park di sini, dalam keadaan menyedari syarikat terbabit mempunyai hubungan dengan kerja rasminya melibatkan penugasan penguatkuasaan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berdasarkan pertuduhan kedua dan ketiga, tertuduh dikatakan mengulangi kesalahan itu dengan menerima wang tunai daripada syarikat yang sama masing-masing berjumlah RM300 pada 9 Januari 2017 dan 21 Februari 2018 yang dimasukkan ke dalam akaun simpanan miliknya.

Tertuduh didakwa melakukan semua kesalahan itu mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan

hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali bagi setiap pertuduhan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Noor Azura Zulkifli dan Afiqa Liyana Rozman manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Muhamad yang kini bertugas dalam Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Ipoh, Perak kedengaran menahan sebak ketika memohon jumlah jaminan dikurangkan kerana dia baru dua bulan kembali bekerja selepas digantung tugas dengan pendapatan bulanan kira-kira RM1,000.

"Saya ada tanggungan anak menghidap autisme dan bapa menghidap penyakit jantung. Bapa mentua pula baru meninggal dunia...banyak urusan perlu diselesaikan selain saya banyak berhutang dengan kawan," katanya.

Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan yang memerintahkan tertuduh melapor diri di pejabat SPRM terdekat setiap bulan dan menyerahkan dokumen perjalanan sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 10 April ini.

Sumber : Harian Metro

Hit : 1484