Berita Menarik

Pemerhati politik dituduh gagal patuhi perintah hadir

Kuala Lumpur: Pemerhati politik Mohamad Shafiq Abdul Halim dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan gagal mematuhi perintah hadir memberi keterangan berhubung kes disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), minggu lalu.

Mohamad Shafiq, 32, yang juga pegawai penyelidik bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa tidak mematuhi perintah mengikut Seksyen 30(1) (a) Akta SPRM (Akta 694) yang dikeluarkan Penolong Penguasa SPRM Shahidan Muhammad Saparudin dalam melaksanakan kewajipannya yang mana tertuduh gagal menghadirkan diri di hadapan pegawai terbabit.

Perintah itu bertujuan bagi pemeriksaan secara lisan berhubung satu siasatan yang sedang dijalankan terhadapnya mengikut Akta 694 di Ibu Pejabat SPRM di Presint 7, Putrajaya, dekat sini, pada 3 Mac lalu.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 48 (c) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 69 akta sama memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib yang mengendalikan kes menawarkan jaminan RM10,000 dengan syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SPRM terdekat setiap bulan.

Beliau turut memohon mahkamah supaya mengeluarkan perintah terhadap tertuduh untuk tidak membuat sebarang komen atau ulasan mengenai pertuduhan itu yang akan subjudis kepada kes.

Tertuduh yang diwakili peguam Chetan Jethwani bersetuju dengan jumlah jaminan ditawarkan berserta syarat tambahan itu, namun beliau membantah cadangan untuk tertuduh tidak mengeluarkan komen berhubung kes itu.

"Kami membantah kerana kenyataan yang bersifat subjudis itu hanya boleh ditentukan oleh mahkamah bukan individu. Kes ini juga mendapat perhatian media dan jika pendakwaan bercadang memohon perintah larangan itu, ia perlu dibuat secara permohonan rasmi," katanya.

Selepas mendengar hujahan pihak pendakwaan dan pembelaan, Suzana membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin bersama syarat tambahan seperti dimohon pendakwaan.

Selain itu, beliau memerintahkan Timbalan Pendakwa Raya membuat permohonan rasmi kepada mahkamah untuk tujuan menghalang tertuduh membuat komen berhubung kes itu.

Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula kes dan serahan dokumen pada 7 April depan.

Pada 22 Februari lalu, Mohamad Shafiq ditahan SPRM kerana disyaki membuat tuduhan bahawa SPRM menawarkan RM10 juta kepada Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan untuk membabitkan Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kes rasuah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata, lelaki itu disiasat mengikut Seksyen 48 Akta SPRM 2009 kerana mengganggu siasatan berkaitan projek Jana Wibawa.

Sebelum ini satu video berdurasi 44 saat yang tersebar di Twitter memaparkan seorang lelaki mendakwa RM10 juta ditawarkan SPRM kepada Ketua Penerangan Bersatu itu.

Melalui klip video itu, lelaki terbabit mendakwa tawaran itu dibuat SPRM supaya Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor menukar kenyataannya dengan mengatakan bahawa beliau menerima arahan daripada Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu untuk menerima wang rasuah.

Sumber : Harian Metro


Hit : 1705