Berita Menarik

10 termasuk kakitangan penguatkuasaan direman minta rasuah

ALOR SETAR - 10 individu termasuk lima kakitangan agensi penguatkuasaan direman selama lima hari bermula Selasa bagi membantu siasatan kes rasuah dalam industri perikanan negara.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Puan Siti Norhidayah Mohd Noor di Mahkamah Alor Setar di sini kepada sembilan lelaki dan seorang wanita.

Kesemua suspek yang berusia antara 26 hingga 57 tahun itu tiba di pekarangan mahkamah pada jam 8.25 pagi diiringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mendapatkan perintah reman.

Pada Isnin, SPRM melakukan pendedahan menggemparkan apabila berpuluh kakitangan dan pegawai penguatkuasa dikesan menerima suapan duit haram secara bulanan lebih lima tahun lalu.

Kegiatan itu berjaya dikesan susulan risikan dilakukan terhadap tiga agensi penguatkuasaan membabitkan agensi Jabatan Perikanan (DOF), Pasukan Gerakan Marin (PGM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Menurut sumber, kakitangan tiga agensi itu dikesan menerima rasuah diberikan pemilik bot nelayan dan pengusaha sangkar ternakan ikan dalam bentuk wang tunai.


Hit : 1331