Berita Menarik

Pembantu penguat kuasa JPJ didakwa terima rasuah RM1,200

Tawau: Seorang pembantu penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) didakwa di Mahkamah Khas Rasuah, di sini, hari ini, atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah, tiga tahun lalu.

Bagaimanapun, tertuduh Mahasan Nordin, 36, tidak mengaku bersalah dan meminta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Jason Juga.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang bertugas di Unit Sitaan, JPJ Cawangan Lahad Datu, secara rasuah menerima wang tunai sebanyak RM1,200 daripada seorang lelaki berusia 45 tahun sebagai dorongan untuk melepaskan lori syarikat Sumbermas Trading milik lelaki terbabit yang disita kerana telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 23(1) dan Seksyen 90(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat JPJ Cawangan Lahad Datu, antara 3.20 petang hingga 4.00 petang pada 28 Februari 2020.

Bagi kedua-dua kesalahan itu, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 17(a), Akta Suruhanjaya

Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1), akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau sepuluh ribu ringgit, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa SPRM Sabah, Norsham Saharom, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Hakim kemudiannya menetapkan jaminan RM10,000 dan RM5,000 didepositkan ke akaun mahkamah untuk semua pertuduhan dengan dua penjamin tempatan.

Mahkamah juga memerintahkan tertuduh supaya tidak mengganggu saksi pendakwaan serta dikehendaki melapor diri di pejabat SPRM Cawangan Lahad Datu setiap dua bulan sekali dan pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah.

Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 8 Mac depan.

Sumber : Harian Metro

Hit : 1250