Kolumnis@SPRM

Apabila Sedekah menjadi Rasuah


Dato’ Sri Akhbar Satar

Ahli Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR)

Ahli Lembaga Pengarah Institut Integriti Malaysia (IIM)

Presiden Persatuan Pemeriksa Fraud Bertauliah Malaysia

 

INGAT bahawa Seksyen 10 (a) Akta Kesalahan Pilihan Raya (AKP) 1954 mentakrifkan secara terperinci perbuatan rasuah sebelum, semasa dan selepas pilihan raya yang dilakukan secara langsung atau tidak langsung oleh calon itu sendiri atau oleh wakil bagi pihaknya.


Sudah tentu mana-mana orang yang turut terlibat memberi wang untuk meraih undi calon tertentu, salah dari segi undang-undang (AKP) 1954 dan boleh disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tambahan lagi transaksi berlaku ketika pilihan raya.

 

Apatah lagi dikatakan pengundi dipaksa bersumpah dengan nama Allah untuk mengundi seseorang calon. Rakan sedarjah saya sendiri di kampung memberitahu bahawa dia diberi RM200 dan diminta untuk mengundi calon tertentu.

 

Dalam konteks SPRM, pengertian rasuah adalah penerimaan atau pemberian suapan sebagai upah atau dorongan untuk seseorang individu kerana melakukan atau tidak melakukan sesuatu perbuatan yang berkaitan dengan tugas rasmiSuapan terdiri daripada wang, hadiah, bonus, undi, perkhidmatan, jawatan, upah atau diskaun.

 

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki menekankan bahawa rasuah adalah rasuah, tidak kira bagaimana seseorang itu memilih untuk menggambarkannya kerana undang-undang jelas mentakrifkan apa yang dimaksudkan dengan pembelian undi.


Katanya, sama ada ia ‘sedekah’ atau ‘sumbangan’, undang-undang menganggapnya sebagai rasuah yang dibayar kepada pengundi, tidak kira sama ada pengundi memintanya atau tidak. Sesuatu pemberian bagi meraih undi pada pilihan raya sebagai sedekah adalah salah dari segi undang undang dan boleh merugikan negara serta masyarakat.


SPRM telah menyiasat apa sahaja bentuk kes rasuah berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada, bukan hanya tertakluk kepada pemahaman atau intepretasi peribadi.  Setiap kertas siasatan akan diangkat kepada pihak Peguam Negara untuk diteliti sebelum didakwa di mahkamah. Apapun keputusan mutakhir setiap kes perbicaraan akan diputuskan oleh hakim. Kebiasaannya tertuduh yang didakwa oleh SPRM didapati bersalah di mana kadar sabitan melebihi 90 peratus.

 

Tambahan pula hukumannya juga berat menanti ahli politik atau wakil apabila disabitkan. Mereka boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun, didenda tidak kurang daripada RM1,000 dan tidak lebih daripada RM5,000. Kesalahan ini adalah kesalahan boleh tangkap mengikut pengertian Kanun Tatacara Jenayah.

 

Kini SPRM telah membuka kertas siasatan ke atas individu yang terlibat di dalam pemberian dan penerimaan wang rasuah ketika Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU-15).

 

Satu perkara lagi yang perlu menjadi ingatan adalah jika gagal melapor pemberian, janji atau tawaran, di bawah Seksyen 25 (1) dan (2) Akta SPRM 2009 akan dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 dan penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.


Gagal melapor permintaan atau memperolehi rasuah, di bawah Seksyen 25 (3) dan (4) akan didenda tidak melebihi RM10,000 dan penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

 

Kegiatan rasuah ini memberi impak tidak baik kepada negara.  Rakyat sangat berharap agar PRU-15 tidak melibatkan wang rasuah atau politik wang yang merupakan kegemaran majoriti ahli politik tempatan untuk memenangi pilihan raya dan berkuasa. Tetapi pada hakikatnya pelaburan yang dilakukan melalui pemberian wang untuk meraih undi pada kebiasaan akan ditebus balik apabila memegang tampuk kekuasaan.

 

Tambahan lagi apabila dilantik sebagai menteri terdapat lubuk-lubuk emas untuk memberi ruang terlibat di dalam kegiatan rasuah untuk hidup mewah. Kontrak diberikan secara rundingan terus kepada kroni dengan harga yang melebihi keuntungan dianggarkan 50 peratus, sedangkan jika dibuat melalui tender terbuka dengan pengawasan yang ketat, biasanya kontraktor hanya memperolehi keuntungan antara 15 hingga 20 peratus.

 

Jika mengikut Bank Dunia setiap kontrak tidak dipantau dengan baik akan tiris sebanyak 20 hingga 30 peratus dan kenyataan ini disokong oleh bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang.

 

Sepatutnya rasuah politik ini tidak berlaku di negara ini, selain menyalahi undang-undang ia juga satu dosa. Rasuah juga tidak adil kerana menyebabkan calon yang layak dan berwibawa diketepikan. Mengikut teori demokrasi, salah satu mekanisme rakyat boleh membendung tingkah laku elit rasuah ialah pilihan raya.


Tanggungjawab membendung rasuah di dalam pilihan raya adalah terletak kepada ketua-ketua parti yang bertanding. Jika mana-mana parti masih memilih untuk memberi wang ringgit kepada pengundi untuk memenangi pilhan raya, maka masalah rasuah politik tidak akan selesai sampai bila-bila.


Rasuah lebih melibatkan integriti individu dibandingkan sistem (Individual vs Systemic). Doktrin agama tidak boleh mengekang amalan rasuah seseorang. Integriti adalah sesuatu yang dimiliki atau tidak dimiliki. Tetapi yang memiliki integritipun belum tentu tidak mengambil rasuah jika sekiranya ketahanan dalaman dipengaruhi oleh kehidupan mewah walaupun melalui pendapatan haram.


Pengundi dan golongan muda mempunyai peluang untuk membuat pembetulan yang diperlukan oleh negara. Justeru mereka tidak boleh menerima wang, tidak boleh membiarkan sistem dan diri rosak kerana terbelenggu serta menggadai maruah dengan sedikit bayaran duit haram tetapi dalam jangka masa panjang ia merosakkan negara dan merumitkan rakyat.


Secara keseluruhan, Malaysia adalah sebuah negara yang makmur. Cuma isu rasuah dan penyelewengan masih lagi berleluasa dan sukar dibendung. Terdapat ahli politik yang korup, memperkayakan diri masing-masing dan sepatutnya mereka ini menterjemahkan nilai-nilai Islam ke dalam kancah politik sebagaimana semestinya. Kita perlu mengelakkan diri daripada terlibat dengan rasuah bukan kerana takut kepada SPRM tetapi kerana takut kepada Tuhan (God-fearing). Malangnya orang yang mendakwa takut kepada Tuhan, masih memperkayakan diri dengan hasil-hasil haram.

 

Selepas pilihan raya negeri, parti yang menang diharap dapat membentuk sebuah kerajaan berintegriti, stabil dan terus bersama-sama rakyat memerangi rasuah, memperbaiki ekonomi, kos sara hidup demi masa depan negara dan generasi akan datang.

 

Rasuah adalah ibu segala kegiatan jenayah dan kejahatan.


Penafian : Tulisan ini adalah pandangan penulis dan tiada kaitan dengan pendirian rasmi SPRM.  


Hit : 2870