Berita Menarik

Pekerja pasar raya didenda RM30,000 rasuah polis

ALOR SETAR: Seorang pekerja pasar raya mini didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen setelah mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan menawarkan suapan seutas rantai emas kepada anggota polis, tahun lalu.

Hakim Rohatul Akmar Abdullah menjatuhkan hukuman selepas tertuduh, V. Sancheev, 27, membuat pengakuan tersebut sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa dalam bahasa Tamil.

Tertuduh turut diarahkan menjalani hukuman penjara selama 12 bulan jika gagal menjelaskan denda ditetapkan itu.

Mengikut pertuduhan, Sancheev didakwa menawarkan suapan seutas rantai leher emas bernilai lebih RM4,600 kepada seorang anggota polis berpangkat Sub Inspektor dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah.

Tawaran rasuah itu dilakukan sebagai balasan untuk melepaskannya daripada menerima hukuman bagi kesalahan memiliki dadah jenis methamphetamine yang boleh disabit di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tertuduh didakwa menawarkan suapan tersebut di sebuah hotel berdekatan Jalan Pintu Sepuluh, di sini kira-kira pukul 2 petang, 7 September 2022.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rehab Abdul Shukur mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan, sementara tertuduh tiada diwakili peguam.

Dalam rayuannya, tertuduh memohon dikenakan denda lebih ringan memandangkan masih perlu menyara ibu bapa selain adik serta isterinya.

Bagaimanapun Rehab meminta tertuduh dikenakan hukuman setimpal dengan apa yang dilakukannya kerana tindakan memberi rasuah kepada anggota polis semasa operasi narkotik merupakan sesuatu kesalahan yang serius.

Mahkamah turut memerintahkan agar rantai emas itu dilucut hak kepada kerajaan, manakala Sancheev membayar denda terbabit. – UTUSAN


Hit : 1488