Berita Menarik

Penguat kuasa veterinar tak mengaku rasuah RM35,000

KUALA TERENGGANU: Seorang pembantu penguat kuasa veterinar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah RM35,000.

Tertuduh, Abol As Mohd Jamil, 43, yang bertugas di Jabatan Perkhidmatan Veterinar Terengganu membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Dazuki Ali.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa meminta rasuah bernilai RM35,000 sebagai dorongan untuk menurunkan seksyen pertuduhan kepada hukuman yang lebih ringan bagi kes yang dituduh di Mahkamah Sesyen di sini bagi kesalahan mengikut Seksyen 32 (1)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menerima rasuah bernilai RM35,000 daripada individu sama.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Fikri Kampung Seberang Takir Kuala Nerus pada 27 Julai dan 3 Ogos lalu.

Tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 7 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Mahkamah juga membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin.

Tertuduh turut dikenakan syarat tambahan iaitu perlu melapor diri ke pejabat SPRM antara 1 hingga 5 hari bulan setiap bulan dan menyerahkan pasport antarabangsa kepada SPRM Terengganu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Yasmin Salleh dan Nur Athikah Aziz manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Hazwan Hamidun.


Hit : 1372