Kolumnis@SPRM

Memerdekakan Negara Daripada Rasuah

Oleh :
Tan Sri Dato' Sri Haji Azam Baki
Ketua Pesuruhjaya
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia

Perkembangan ekonomi negara umpama cerminan kehidupan rakyat, namun desakan keadaan ekonomi semasa menghimpit seseorang itu sehingga melakukan aktiviti yang tidak bermoral, seperti menerima rasuah ataupun suapan. Isu rasuah yang sudah lama berakar umbi tidak  boleh dibiarkan terus bermaharajalela tanpa adanya jalan penyelesaian tuntas. Amalan ini perlu diperangi secara habis-habisan. Mengambil semangat kemerdekaan yang berlangsung pada bulan ini, negara perlu terus merdeka dan keluar daripada isu integriti, ketirisan dan jenayah ekonomi, sekali gus dapat memulihkan imej negara pada mata dunia. “Jika tiada pemberi, masakan ada penerimanya,” demikian jelas YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Haji Azam Baki, Ketua Pesuruhjaya SPRM pada awal bicara ketika diwawancara oleh Sidang Editor DewanMasyarakat (DM) di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya, baru-baru ini.

Menyedari hakikat bahawa negara perlu bebas daripada budaya yang tidak bermoral ini, DM terpanggil untuk mewawancara beliau secara khas bagi mengupas isu ini daripada kaca mata individu nombor satu yang mengetuai sebuah badan yang mengutamakan integriti ini dalam usaha memerangi jenayah rasuah. Ikuti wawancara secara eksklusif bersama-sama beliau yang kini berkhidmat selama 38 tahun di SPRM bagi mendapatkan pandangan dalam membendung kebejatan sosial yang merencatkan usaha pembinaan dan kemajuan negara.

DM: Apakah evolusi, perubahan atau perkembangan SPRM setakat ini?

Sebelum ini, penyiasatan kes oleh SPRM lebih bertindak secara reaktif, iaitu menunggu sebarang maklumat atau aduan daripada orang awam, kemudian diteruskan dengan melakukan siasatan. Namun begitu, sejak tahun 2000, kita mula menggunakan kaedah risikan dalam siasatan, iaitu bergerak sendiri dengan mengatur pegawai untuk mendapatkan maklumat secara perisikan.

Kaedah ini dilakukan kerana lazimnya dalam kes rasuah, kebanyakan masyarakat sukar untuk tampil memberikan aduan. Jika adapun dianggarkan kurang daripada lima peratus. Hal ini dikatakan demikian kerana mereka bimbang dan implikasinya sangat besar, misalnya, apabila seseorang kontraktor itu mendedahkan isu rasuah dalam sebuah tender, kemungkinan besar mereka tidak akan menerima tender lagi selepas itu.

Susulan daripada itu, pada tahun 2009, kaedah ini dikembangkan lagi menerusi pelbagai program transformasi hinggalah ke tahun 2011. SPRM bukan sekadar menggunakan kaedah tersebut untuk tujuan operasi risikan (undercover operation), malah turut menggunakan analisis mendalam (deep analysis) terhadap subjek atau suspek tertentu, khususnya yang melibatkan penyiasatan berprofil tinggi.

Terkini, SPRM sudah beralih kepada kaedah Siasatan Berasaskan Risikan (IBI) sebagai kaedah penyiasatan proaktif. Tempoh penyiasatan adalah bergantung pada sesebuah kes. Penyiasatan secara standard, misalnya kes biasa, tempohnya ialah sebulan, tetapi dengan kaedah terkini, siasatan dapat diselesaikan dalam tempoh dua hingga ke tiga minggu sahaja. Bagi kes pertengahan, siasatan akan mengambil masa hingga tiga bulan, manakala kes berprofil tinggi memakan masa selama enam bulan. Walau bagaimanapun, saya memberi jaminan bahawa pendekatan siasatan pada hari ini berbeza daripada dahulu dan tempoh persiapan kertas siasatan juga didapati semakin singkat.

DM: Apakah usaha atau pembaharuan yang dilaksanakan oleh Tan Sri sebaik-baik sahaja menggalas tanggungjawab sebagai KetuaPesuruhjaya SPRM?

Umumnya mengetahui saya merupakan Ketua Pesuruhjaya SPRM yang ke-15, dengan mendapat perkenan daripada Seri Paduka Baginda Yang di- Pertuan Agong. Sesiapa pun yang dilantik menjadi Ketua Pesuruhjaya SPRM tetap menjalankan fungsi mengikut lunas undang-undang yang diperuntukkan.

Bagi saya, hala tuju sekarang adalah untuk membantu negara menjana ekonomi dengan cara mengurangkan ketirisan dana kerajaan. Fokus utama adalah untuk memulihkan ekonomi negara agar tidak banyak dana yang hilang akibat berlakunya ketirisan. Hal ini tidak bermakna kes lain tidak diutamakan, namun lebih tertumpu pada isu yang berkaitan dengan rasuah jenayah ekonomi.

DM: Apakah pembaharuan yang telah dilaksanakan oleh SPRM, namun masih terdapat segelintir masyarakat tidak peka akan pembaharuan itu?

Pembaharuan dalam konteks ini ialah perubahan terhadap penambahbaikan sistem sedia ada.

Dalam memenuhi harapan masyarakat terhadap kebebasan, ketelusan dan keberkesanan SPRM dalam pelaksanaan kewajipan fungsinya mengikut undang-undang yang ditetapkan, SPRM telah mewujudkan mekanisme “semak dan imbang”.

SPRM telah dipantau oleh Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR); Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR); Jawatankuasa Aduan (JKA); Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) dan Panel Penilaian Operasi (PPO). Jika diteliti satu persatu fungsi kesemua lima panel tersebut, jelas sekali objektif pembentukannya dapat menangkis persepsi negatif sesetangah pihak terhadap SPRM.

LPPR diwujudkan mengikut Seksyen 13 Akta SPRM 2009, yakni bertanggungjawab dalam menasihati SPRM dari segi dasar dan perjalanan organisasi. Ahli LPPR dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong daripada kalangan individu yang berintegriti dan telah memberikan perkhidmatan awam yang cemerlang atau mencapai keunggulan dalam profesion masing-masing. JKMR yang diwujudkan mengikut Seksyen 14 Akta SPRM 2009 pula ditugaskan untuk membentangkan dan memberi nasihat kepada YAB Perdana Menteri tentang prestasi SPRM pada tahun yang berkenaan.

Seterusnya, JKA berperanan dalam memantau salah laku yang dilaporkan terhadap pegawai SPRM yang tidak bersifat jenayah dan PPPR juga menasihati SPRM tentang aktiviti pencegahan dan aktiviti pendidikan masyarakat. Selain itu, PPPR diwujudkan secara pentadbiran dan dianggotai oleh individu yang dilantik oleh YAB Perdana Menteri bagi mewakili pelbagai kumpulan masyarakat seperti ahli akademik, dewan perniagaan, pakar media, aktivis sosial dan pertubuhan yang diyakini dapat membantu SPRM mencapai matlamat untuk mewujudkan masyarakat benci rasuah. PPO pula akan memantau kes SPRM, termasuklah dengan memberikan pandangan terhadap sesuatu kes sebelum ditutup atau diteliti semula sekiranya ada yang tidak berpuas hati dengan penjelasan SPRM.

Walaupun mekanisme semak dan imbang telah dilaksanakan, namun dilihat masih terdapat segelintir pihak yang tidak peka atau mempunyai persepsi bahawa SPRM sebagai agensi penguat kuasa yang boleh dipengaruhi serta tidak bebas.

DM: Apakah pencapaian terbesar SPRM setakat ini?

SPRM telah membentuk satu kaedah penyiasatan yang banyak menghasilkan kes berprofil tinggi, yakni melibatkan individu yang berjawatan atau berkedudukan tinggi. Selain itu, jika diperincikan kejayaan operasi setakat ini, SPRM telah merekodkan sebanyak 91.1 peratus atau 266 kes salah laku rasuah yang berakhir dengan sabitan daripada 292 kes yang selesai dibicarakan. Bukan itu sahaja, dari segi pemulihan aset pula, jumlah aset yang dilucutkan hak dan dipulangkan kepada kerajaan Malaysia pada tahun lalu adalah sebanyak RM5.1 bilion, iaitu 99.57 peratus daripada projek 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Perkara sebegini merupakan antara kejayaan besar yang dicapai oleh SPRM.

Selain itu, bermula pada tahun 2012 hingga ke hari ini, SPRM telah menggarapkan modul dalam hal operasi seperti modul risikan dan modul penyiasatan. Pendekatan saya adalah untuk tidak hanya bertumpu pada kes individu kecil sehingga melibatkan kerja perisikan dan penyiasatan. Sebaliknya, menyerahkan isu tersebut kepada jabatan untuk diambil tindakan, sekali gus dapat menyelesaikan masalah dengan lebih efisien.

Antara kejayaan SPRM yang lain ialah SPRM menyediakan perkhidmatan dalam menasihati jabatan kerajaan berkenaan dengan perkara atau isu kelompangan sistem dan prosedur jabatan melalui bimbingan serta memberikan latihan untuk membentuk Pelan Antirasuah Organisasi (OACP).

Pada peringkat sekolah, SPRM telah menganjurkan program Wira Anti Rasuah (WAR) sejak tahun 2014. Hingga kini, program WAR berjaya melibatkan lebih daripada 24 000 pelajar dan 4100 guru di seluruh negara. Dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia, elemen antirasuah diperkenalkan dalam buku teks sekolah rendah dan menengah secara berperingkat mulai tahun 2016.

Nilai integriti dan benci akan rasuah dimasukkan dalam buku teks Pendidikan Moral (Sekolah Jenis Cina dan Tamil), Pendidikan Sivik, Pendidikan Islam, serta mata pelajaran Bahasa Melayu. Di samping itu, Projek Kedai Jujur ditubuhkan di 20 buah sekolah, dengan objektifnya untuk menanamkan nilai integriti secara praktikal dalam kalangan murid. Untuk mendekati kanak-kanak, pendidikan antirasuah juga dilancarkan melalui siri animasi popular “Upin & Ipin: Perangi Rasuah” dan “Boboboi:Sahabat Cilik SPRM.”

Selain daripada Kursus Integriti dan AntiRasuah (KIAR) yang dilaporkan akan dijadikan kursus wajib di institut pengajian tinggi (IPT) mulai tahun depan, SPRM juga bergiat dengan memberi nasihat dan memperuntukkan sejumlah dana kepada kelab Angkatan Mahasiswa Antirasuah (AMAR), bagi menjalankan aktiviti meningkatkan kesedaran antirasuah dalam kalangan mahasiswa seperti penganjuran forum, debat dan pelbagai aktiviti di seluruh negara.

DM: Apakah saranan yang boleh diketengahkan bersempena dengan kemerdekaan negara agar amalan rasuah di negara ini dapat dihapuskan?

Antara perkara yang tunjang ialah peranan antara pemimpin dengan masyarakat dalam mengembalikan semula penghayatan erti kemerdekaan yang dikecapi. Sedarlah hakikat bahawa kita masih lagi tidak merdeka, jika masih berada dalam keadaan yang dibelenggu dengan isu rasuah. Selain itu, semangat bersatu padu dan kebersamaan itu sangat penting dalam memastikan rakyat sehaluan serta mempunyai satu tekad dan azam yang sama untuk menghapuskan rasuah.

DM: Bagaimanakah untuk menyemai persepsi sesetengah masyarakat bahawa SPRM tidak melakukan pendakwaan terpilih?

Rekod kami menunjukkan sebaliknya. Oleh itu, mereka dinasihatkan supaya merujuk portal atau media sosial SPRM. Kes yang besar sudah banyak diselesaikan, terutamanya yang melibatkan pegawai kanan kerajaan, ahli politik dan ahli perniagaan berprofil tinggi. Dalam hal ini, kerja kami ialah lebih kepada membawa kepada muka pengadilan berasaskan maklumat, bukti dan analisis yang dilakukan. Tindakan selanjutnya dilakukan oleh pihak pendakwaan dan diputuskan oleh hakim yang mengendalikan kes tersebut.

DM: Apakah komen Tan Sri berkaitan dengan persepsi terhadap SPRM apabila kes berprofil tinggi seolah-olah dilepaskan?

Apabila sesuatu isu timbul dan melibatkan individu yang berjawatan tinggi, dinasihatkan agar tidak berfikiran negatif dengan terus menghukum individu tersebut telah bersalah. Hal ini tidak kira sama ada individu tersebut terlepas dari siasatan atau pendakwaan, masyarakat akan tetap menuding jari kepada SPRM untuk dipersalahkan. Sedangkan individu yang tertuduh itu ada hak mereka, sekiranya dia didapati tidak bersalah, maka dia akan dilepaskan.

Namun begitu, jaminan saya ialah, mana-mana laporan yang diberi kepada kami dengan laporan yang berasas, kami tetap akan menjalankan siasatan. Kami mempunyai setiap rekod siasatan dan tidak boleh menipu kerana semua data tersebut dipantau. Saya sudah mencuba banyak kali untuk memahamkan masyarakat berkenaan hal ini, namun seperti masih tidak diendahkan.

Laman sesawang SPRM sudah cukup lengkap dengan segala informasi yang berkaitan, namun tidak ramai yang mengaksesnya. Sedangkan, data pesalah rasuah telah dipaparkan dalam portal berkenaan. Hindarilah daripada menuduh seseorang yang sedang dalam siasatan itu telah bersalah. Tugas SPRM adalah dengan menjalankan penyiasatan, bukannya untuk menjatuhkan hukuman.

Dalam kes bicara, bukan semua orang adalah tertuduh, ada yang menjadi saksi. Mungkin semua yang dituduh terlibat, tetapi undang-undang memerlukan keterangan dan keterangan tersebut pula perlu disokong. Jika tiada keterangan yang menyokong, bagaimanakah kita hendak mendapatkan sabitan berkenaan dengan kesalahan tersebut?

DM: Apakah yang akan berlaku sekiranya aspek integriti tidak menjadi pegangan kakitangan yang diamanahkan untuk memerangi rasuah di negara ini?

Secara asasnya, isu rasuah tidak akan selesai jika perkara ini terus berlaku. Untuk menjadi orang yang memerangi rasuah, maka mereka perlulah "whiter than white". Bukan setakat bersih, tetapi perlu dilihat sebagai bersih.

DM: Pendidikan antirasuah yang diperkenalkan oleh SPRM sudah cukup untuk membuka mata pelbagai pihak agar amalan ini perludi perangi secara habis-habisan. Walau bagaimanapun, masih ada sesetengah pihakyang berani melakukan perbuatan rasuah. Apakah pandangan Tan Sri?

Pendidikan dan pencegahan ini dapat bergerak dengan signifikan sekiranya kumpulan sasarannya betul. Pencegahan juga harus disusuli dengan apa-apa isu yang berlaku. Apabila meletakkan fokus dan kumpulan sasar, barulah pendidikan dan pencegahan dapat bergerak seiringan. Misalnya, saya kata fokus SPRM dalam hal operasi adalah untuk mengurangkan ketirisan, maka tumpuan seharusnya lebih kepada hal yang berkaitan dengan perolehan, penguatkuasaan dan sektor grand corruption.

Pastikan kenal kumpulan sasar supaya pendidikan dan pencegahan dapat dilakukan secara berkesan.

DM: Apakah hasratTan Sri terhadap SPRM agar sentiasa komited dalam usaha memerangi rasuah dinegara ini?

Hasrat saya ialah ingin mengangkat atau memartabatkan SPRM sebagai sebuah badan bervisi, yakni menjadi masyarakat bebas rasuah. Walaupun amalan rasuah sukar dibanteras dan memakan masa yang lama. Harapan saya adalah untuk terus menjadikan SPRM sebagai sebuah agensi penguat kuasa yang terunggul di dunia.

Sumber : Dewan Masyarakat Bil 8/2022

Hit : 8401