Kes-kes Menarik

Pengarah syarikat didakwa menipu pembayaran RM7.3 juta

KUANTAN: Seorang pengarah syarikat didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan di sini atas pertuduhan menipu sebuah syarikat pembuatan besi yang membabitkan pembayaran kira-kira RM7.3 juta, tiga tahun lalu.

Bagaimanapun tertuduh, Teh Teng Cheng, 52, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd. Zain.

Tertuduh didakwa menipu dan memperdaya Alliance Steel (M) Sdn. Bhd. dengan cara mengemukakan manual perubahan akaun penerimaan pembayaran projek.

Dalam pada itu, tertuduh turut mendorong syarikat itu melakukan bayaran ke dalam akaun syarikat milik tertuduh iaitu Sureland Industrial Fire Safety (M) Sdn. Bhd. dengan jumlah sebanyak RM7.3 juta.

Tertuduh melakukan kesalahan tersebut di Alliance Steel di kawasan Industri Malaysia-China Kuantan (MCKIP), Jalan Gebeng By Pass, di sini, 28 Jun 2019.

Dengan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebat dan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes tersebut dilakukan Timbalan Pendakwaraya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Siti Sarah Zainal Abidin.

Ketika prosiding berlangsung, Siti Sarah menawarkan ikat jamin sebanyak RM2 juta dengan seorang penjamin dan jaminan yang ditawarkan adalah munasabah serta tidak keterlaluan jika berdasarkan pertuduhan.

Sementara itu, Teng Cheng diwakili peguam Shahrullah Khan Nawab Zadah Khan memohon mengurangkan kadar jamin atas alasan masih menyara tiga anak bersekolah dan seorang ibu yang uzur.

Selain itu, Shahrullah Khan turut memohon mahkamah mengurangkan jaminan kerana tertuduh banyak memberi kerjasama baik sepanjang siasatan dilakukan oleh SPRM sejak November tahun lalu.

Mahkamah membenarkan Teng Cheng diikat jamin RM750,000 dengan dua penjamin.

Syarat tambahan turut dikenakan oleh mahkamah terhadap tertuduh apabila perlu melaporkan diri di pejabat SPRM setiap awal bulan bermula Jun ini sehingga kes selesai dan perlu menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan kes disebut semula 30 Jun depan.

Sumber : Berita Harian


Hit : 844