Berita Menarik

Pembantu pegawai agensi kerajaan direman empat hari

JOHOR BAHRU: Pembantu pegawai sebuah agensi kerajaan direman empat hari sehingga Isnin depan bagi membantu siasatan berhubung kes meminta dan menerima rasuah berjumlah lebih RM20,000.

Perintah reman berkenaan dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Rendah Johor Bahru, Melody Woon Sze Moon.

Terdahulu, tertuduh tiba di mahkamah sambil diiringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan memakai baju lokap dan tangan bergari pada pukul 8.40 pagi.

Semalam, suspek lelaki yang berusia 32 tahun itu ditahan di Ibu pejabat SPRM Johor pada pukul 12.30 tengah hari selepas hadir memberikan keterangan berkaitan kes berkenaan.

Menurut sumber, lelaki tersebut yang sebelum ini bertugas sebagai pegawai tadbir di sebuah jabatan kerajaan telah meminta dan menerima rasuah daripada dua perunding projek bermula pada 2020 sehingga tahun lalu.

Lelaki itu berbuat demikian sebagai balasan membantu membocorkan maklumat berkaitan projek yang hendak dipohon oleh kedua-dua individu tersebut.

Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Sumber : Utusan


Hit : 1895