Berita Menarik

Pembantu penguat kuasa direman bantu kes rasuah RM5,000

SHAH ALAM: Seorang pembantu penguat kuasa agensi kerajaan direman bagi membantu siasatan kes rasuah RM5,000 sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap sebuah syarikat swasta yang menjalankan aktiviti cetak rompak.

Majistret Ellyana Othman mengeluarkan perintah reman terhadap suspek selama empat hari bermula hari ini selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Suspek lelaki berusia 37 tahun itu hadir dengan memakai baju lokap SPRM ke Mahkamah Majistret di sini kira-kira jam 9 pagi diiringi pegawai SPRM.

Sumber berkata, penangkapan suspek dilakukan pada jam 1.35 tengah hari semalam selepas hadir memberikan keterangan di Pejabat SPRM Selangor.

Katanya, siasatan awal mendapati terdapat beberapa pegawai dan pembantu penguat kuasa sebuah agensi kerajaan di Selangor membongkar aktiviti cetak rompak di sebuah syarikat swasta.

"Pada Februari 2020, suspek meminta dan menerima wang rasuah sebanyak RM 5,000 daripada seorang pemilik syarikat ketika membuat serbuan di syarikatnya.

"Wang rasuah itu sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan ke atas syarikat terbabit," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi, berkata kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Sumber : Berita Harian

Hit : 2343