Berita Menarik

Penyelia FELDA direman kes seleweng hampir RM70,000

SEREMBAN: Seorang penyelia di sebuah tanah rancangan FELDA di negeri ini direman tujuh hari bermula hari ini kerana menggunakan wang bayaran kelapa sawit hampir RM70,000 untuk dirinya yang sepatutnya dibayar kepada peneroka.

Majistret Mohd Firdaus Saleh membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan untuk menahan reman penyelia itu hingga 15 Februari ini untuk membantu siasatan.

Menurut fakta kes, lelaki berusia 36 tahun yang bertugas sebagai Pegawai Pembayar di sebuah tanah rancangan FELDA di negeri ini disyaki menyalahgunakan kedudukannya untuk mendapatkan bayaran hasil kelapa sawit RM69,137.32 bagi bulan September 2020 untuk dirinya, sedangkan wang terbabit perlu dibayar kepada peneroka di Jelebu.

Suspek ditahan di sebuah Pejabat Felda di Bandar Sri Jempol, pada jam 2 petang semalam.

Permohonan reman dibuat Pegawai Penyiasat Penolong Penguasa Muhammad Shahrul Nizam Mohd Mokhtar di Mahkamah Jenayah 1 Seremban manakala suspek diwakili Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Kesalahan disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi.

Terdahulu, suspek tiba di perkarangan Kompleks Mahkamah Seremban kira-kira 9.30 pagi dengan memakai baju lokap SPRM berwarna jingga dan diiringi pegawai SPRM.

Sumber : Berita Harian

Hit : 1718