Berita Menarik

Sarjan nafi terima rasuah RM2,500

Alor Setar: Seorang anggota polis berpangkat sarjan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, terhadap pertuduhan menerima rasuah RM2,500, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Nazuli Mohd Nazari, 35, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Harmi Thamri Mohamad selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, Mohd Nazuli yang ketika itu bertugas di bahagian Detektif, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling didakwa menerima rasuah RM2,500 daripada seorang lelaki berusia 34 tahun sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadap individu berkenaan yang disyaki mencuri dua telefon bimbit di kedai telefon di Pekan Baling.

Perbuatan itu didakwa dilakukan pada 4.27 petang 3 Disember 2019 di dalam kereta Produa Axia di parkir kereta di Unit Inspektorat Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Baling.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi.

Mahkamah membenarkan Mohd Nazuli diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 7 Mac depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa SPRM, Tan Sew Ping manakala tertuduh diwakili peguam Alif Zulkefli.

Tertuduh kemudiannya membayar jaminan di Kompleks Mahkamah Alor Setar.


Hit : 2415