Berita Menarik

Tiga warga India didakwa cuba rasuah polis

JOHOR BAHRU - Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis memerintahkan tiga warga India melantik seorang jurubahasa kerana diragui ketiga-tiga tertuduh benar-benar faham dengan pertuduhan yang dibacakan termasuk hukuman yang bakal dikenakan ke atas mereka jika sabit kesalahan.

Hakim Datuk Ahmad Kamil Arifin Ismail memerintahkan kesemua mereka iaitu seorang bekas pengurus kanan dan dua bekas jurutera warga India yang dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan cuba memberi rasuah bernilai RM2,922 kepada seorang anggota di Balai Polis Sentral di sini bulan lalu.

Bekas Pengurus Kanan, Kansara Sanjay, 42, dan Chavda Narendrakumar Rajitsinh, 35, serta Patel Gaurangkumar Hasmukhbhai, 32, masing-masing bekas jurutera yang sebelum ini bekerja di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Iskandar Puteri.

Mahkamah kemudian menetapkan kes disebut semula pada 22 Disember ini.

Mengikut kertas pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh cuba memberi suapan wang tunai RM2,922 kepada Lans Koperal Shahronizam Suhai di Balai Polis Johor Bahru Sentral, Jalan Meldrum pada jam 10.16 malam, 3 September 2021.

Suapan itu bagi mendorong anggota polis berkenaan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas ketiga-tiga tertuduh kerana berhimpun dalam sebuah premis dekat sini yang merupakan kesalahan di bawah Peraturan 10 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021.

Bagi kesalahan itu, ketiga-tiga tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(b) dan Seksyen 24(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun atau denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Peguam bagi ketiga-tiga tertuduh, A P Bharathi sebelum itu memohon jaminan yang minimum kerana mereka sudah diberhentikan kerja pada 24 September 2021 selain masing-masing mempunyai tanggungan isteri dan anak.

Mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM8,000 seorang dan dua penjamin warga negara untuk setiap seorang selain mengarahkan pasport diserahkan dan melapor di Pejabat SPRM Johor Bahru setiap bulan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ikhwan Ihsan Jalaludin.

Sumber : Harian Metro


Hit : 1897