Kolumnis@SPRM

Parti Politik Dan Bakal Calon Pilihan Raya


Oleh :

Datuk Seri Akhbar Satar

Pengerusi

Persatuan Pemeriksa Fraud Bertauliah


Undang-undang cukup untuk banteras kesalahan pilihan raya

Semua parti politik dan bakal calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka disarankan agar memahami kesalahan-kesalahan pilihan raya khususnya berkaitan aktiviti kempen pilihan raya yang berunsur rasuah dan salah guna kuasa seperti tertakluk pada Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (AKPR 1954) dan Akta Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia 2009 (Akta SPRM 2009).

Peruntukan yang diperlukan sudah wujud dalam undang-undang sedia ada bagi membolehkan SPRM, PDRM dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengambil tindakan tegas terhadap amalan rasuah dan salah guna kuasa menjelang pilihan raya negeri Melaka.

Bahkan di bawah peruntukan AKPR 1954 mengandungi semua bentuk kesalahan rasuah dan salah guna kuasa yang jelas iaitu Seksyen 8 (penjamuan), Seksyen 9 (pengaruh tidak wajar), Seksyen 10 (rasuah) semasa atau selepas tempoh pilihan raya.

Tambahan pula akta ini memperuntukkan hukuman yang berat termasuk boleh dipenjara hinggalah hilang kelayakan sebagai wakil rakyat dan hak mengundi. Sebenarnya hukuman sebegini jika dikuatkuasakan akan menakutkan kerana ia boleh menjejaskan masa depan ahli politik yang melakukan kesalahan tersebut.

 

Seksyen 8 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 – Penjamuan

Bagi Seksyen 8 ini, setiap calon boleh dianggap melakukan rasuah dengan menawarkan makanan, minuman kepada bakal pengundi kerana tindakan tersebut menunjukkan penghargaan supaya pengundi mengundi mereka. Petikan Seksyen 8 adalah seperti berikut:

“...dan tiap-tiap orang yang secara rasuah… memberikan atau mengadakan atau membelanjakan apa-apa makanan, minuman, atau makanan atau minuman ringan atau bekalan itu atau mana-mana wang atau tiket itu atau yang menggunakan apa-apa cara atau tipu daya lain bagi maksud untuk mempengaruhi...supaya memberikan atau tidak memberikan undinya dalam pilihan raya itu….untuk membolehkan makanan, minuman, makanan atau minuman ringan atau bekalan itu didapatkan bersalah atas kesalahan menjamu.”

Kata kuncinya adalah ‘secara rasuah’, mempunyai niat dengan memberi makanan atau minuman yang ditawarkan tersebut. Sudah tentu modus operandi amalan sebegini kerap berlaku dalam politik Malaysia.

 

Seksyen 9 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 - Pengaruh tidak wajar

Seksyen ini merujuk kepada “pengaruh yang tidak wajar” yang boleh menjadi kesalahan jika seseorang menggunakan kekerasan atau keganasan atau menghalang sehingga memaksa seseorang mengundi dengan cara tertentu, atau tidak mengundi langsung.

 

Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 - penyogokan

Penyogokan berlaku sekiranya calon atau mana mana individu menawarkan ‘pembelian undi’ sama ada secara langsung atau tidak langsung seperti memberikan atau menawarkan wang, hadiah,pekerjaan, atau pinjaman ketika proses pilihan raya.

Tiada toleransi terhadap politik wang, justeru itu, tidak seharusnya berlaku pada mana-mana parti politik. Untuk mengatasi masalah ini, kerajaan perlu memperkenalkan Pembiayaan Dana Politik. Akta ini dapat dijadikan panduan untuk membezakan antara dana politik dengan sumbangan kepada parti atau ahli politik yang boleh dikategorikan sebagai rasuah.

 

Seksyen 19 AKPR 1954 - had perbelanjaan pilihan raya

Satu lagi perkara yang perlu diambil maklum oleh semua parti politik adalah mengetahui had perbelanjaan semasa pilihan raya.

Mengikut Seksyen 19 ini, had maksimum perbelanjaan masa pilihan raya adalah RM150,000.00 bagi setiap kerusi negeri dan RM200,000.00 bagi kerusi parlimen. Sudah menjadi pengetahuan umum bahawa berjuta-juta dibelanjakan di setiap kawasan semasa pilihan raya. Laporan pembelanjaan perlu dikemukakan oleh calon pilihan raya kepada Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dalam tempoh sebulan selepas pilihan raya diwartakan.Majoriti calon tidak mematuhi kehendak akta ini.

 

SPR tiada kuasa menguatkuasakan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954

Undang undang AKPR 1954 agak ketat, tetapi malangnya SPR tidak mempunyai kuasa untuk menguatkuasakan (enforcement) terhadap calon yang melanggar undang-undang pilihan raya.

Sebenarnya, kuasa berkaitan perbuatan rasuah dan salah guna kuasa lebih menjurus kepada bidang kuasa SPRM dan juga Polis DiRaja Malaysia (PDRM). Justeru SPR bolehlah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM bagi setiap kejadian rasuah dan salah guna kuasa khususnya dalam tempoh pilihan raya. Selain itu, isu “pengaruh tidak wajar” yang melibatkan ugutan dan menggunakan kekerasan harus diajukan kepadaPDRM.

Pengukuhan undang-undang yang sedia ada sudah tentu akan memperkasakan pegawai dan anggota SPR bersama dengan agensi penguatkuasa lain untuk bersedia mengawasi kegiatan kempen pilihan raya, calon dan ejen untuk memastikan tiada yang melanggar undang-undang, peraturan dan etika kempen pilihan raya.

Parti-parti politik hendaklah mengamalkan proses politik yang berintegriti dan memberi perhatian khusus kepada aktiviti yang dianggap sebagai ‘perbelanjaan undi’ yang berlaku sebelum, semasa atau selepas proses pilihan raya.

 

Hukuman di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954

Di dalam keempat-empat kesalahan di atas, pesalah boleh dipenjara maksimum 2 tahun, denda sehingga RM5,000,dibatalkan kelayakan sebagai wakil rakyat serta kehilangan hak mengundi selama 5 tahun.

Mana mana kesalahan rasuah boleh juga didakwa di bawah Akta SPRM 2009 yang mana denda lebih tinggi dan tempoh pemenjaraan lebih panjang.

 

Akta SPRM 2009 – Hukuman dan penalti

Akta ini memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, denda lima kali ganda nilai suapan atauRM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi jika disabit kesalahan.

Seksyen 25 (1) dan (2) Akta SPRM 2009 - Gagal melapor pemberian, janji atau tawaran

Jika sekiranya gagal melapor pemberian, janji atau tawaran rasuah di bawah Seksyen 25 (1) dan (2) Akta SPRM 2009, pesalah akan dikenakan denda tidak lebih RM100,000 dan penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

 

Seksyen 25 (3) dan (4) Akta SPRM 2009 - Gagal melapor permintaan atau memperolehi

Sementara itu, jika gagal melapor permintaan atau memperolehi suapan di bawah Seksyen 25 (3) dan (4) Akta SPRM 2009, akan didenda tidak lebih RM10,000 dan penjara tidak lebih 2 tahun atau kedua-duanya sekali.

Jangan lupa melaporkan amalan rasuah ketika proses Pilihan Raya Negeri Melaka kepada SPRM.

Semua calon dan penyokong perlu menjalankan kempen dalam skop undang-undang dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) manakala agensi-agensi penguatkuasa terus menguatkuasakan undang-undang untuk melindungi proses demokrasi bagi membolehkan pilihan raya negeri Melaka berjalan dengan bebas, bersih, adil dan berwibawa.

Selepas pilihan raya ini,parti yang menang diharapkan dapat membentuk sebuah Kerajaan yang berintegriti, stabil dan terus bersama-sama dengan rakyat memerangi rasuah yang masih berleluasa demi masa depan negara dan generasi akan datang. Rasuah adalah ibu segala kegiatan jenayah dan kejahatan.


 Penafian : Tulisan ini adalah pandangan penulis dan tiada kaitan dengan pendirian rasmi SPRM.


Hit : 4540