Berita Terkini

IACA 10th Assembly of Parties Virtual Meeting

PUTRAJAYA, 7 Okt. – Isu rasuah diibaratkan seperti 'isu tidak pernah habis' seperti virus COVID-19 yang bermutasi di mana aspek dan kerumitan rasuah juga berkembang dari masa ke masa.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki berkata, Malaysia telah berjaya mencapai kejayaan dalam memerangi rasuah termasuk menangani isu membabitkan transaksi besar melibatkan aset haram.

“Perkara ini adalah hasil kerjasama yang diberikan oleh beberapa buah negara anggota kepada Malaysia dalam usahanya membasmi rasuah. Oleh itu, Malaysia turut menawarkan kepakaran dan akademi latihannya, Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) kepada International Anti Corruption Academy (IACA) serta agensi pencegahan rasuah lain dan golongan profesional di seluruh pelusuk dunia,” katanya.

Tambah beliau, cabaran tersebut dapat dilihat dengan pendekatan kemajuan teknologi dan penggunaan pembelajaran dan penyertaan dari jarak jauh. Malah, Malaysia menjadi sumber penyokong kuat terutamanya dalam pembiayaan kewangan dan merupakan tiga penyumbang teratas untuk IACA.

IACA adalah pertubuhan antarabangsa dan bidang khususnya ialah latihan, pendidikan, pencegahan dan penyelidikan rasuah yang ditubuhkan pada 13 Oktober 2008 berpangkalan di Laxenburg, Austria.

Manakala, IACA dan MACA juga telah lama menjalin hubungan kerjasama dan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan IACA sejak 2012. Pihak SPRM juga berbesar hati untuk terus memberikan komitmen dalam kesinambungan MoU bersama IACA.

Beliau berkata demikian semasa menghadiri mesyuarat IACA 10th Assembly of Parties yang diadakan secara maya pada hari ini dan perjumpaan tersebut akan diadakan pada setiap tahun.

Turut hadir Duta Besar dan Wakil Tetap Republik Czech Kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Vienna, Ivo Šrámek dan Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC), Datuk Seri Mohd Sallehhuddin Hassan.

Turut serta Dekan IACA, Thomas Stelzer; Pegawai Wisma Putra di Vienna, Mohd Yunus Ibrahim; Pengarah MACA, Dato’ Haji Idris Zaharudin serta Pengarah Bahagian Dasar, Perancangan dan Penyelidikan (BDPP) SPRM, TPj Mohd Hafaz Nazar.

Hit : 1718