Berita Menarik

Penolong pegawai tanah berdepan enam pertuduhan suapan

KUANTAN: Penolong Pegawai Tanah, Pejabat Daerah dan Tanah Bentong mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuantan bagi enam pertuduhan menerima suapan daripada seorang ahli perniagaan.

Tertuduh membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan itu dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nurul Farahah Md. Suah di sini hari ini.

Tertuduh, Mohd. Faris Romle, 36, didakwa menerima antara RM100 hingga RM400 melalui pemindahan wang secara dalam talian yang dilakukan ahli perniagaan terbabit.

Berdasarkan kertas pertuduhan, pemindahan itu membabitkan tugasannya sebagai penjawat awam di Unit Penguatkuasaan, Pejabat Daerah dan Tanah Bentong.

Jumlah keseluruhan transaksi pindahan wang secara dalam talian yang didakwa diterima tertuduh RM1,400.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di bandar Bentong dekat sini antara 10 Februari hingga 17 September tahun lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara selama tempoh boleh sampai dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Siti Sarah Zainal Abiddin menawarkan ikat jamin RM5,000 bagi semua pertuduhan.

Bagaimanapun, bapa kepada dua anak itu membuat rayuan agar mahkamah mengurangkan jumlah ikat jamin ditawarkan pihak pendakwaan memandangkan dia hanya memperoleh gaji bersih RM1,500 sebulan dan perlu menanggung keluarga.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dan kes disebut semula 1 November depan bagi menunggu lantikan peguam.

Sumber : UTUSAN ONLINE


Hit : 1483