Berita Menarik

Penolong pegawai MBPJ didenda RM55,000, penjara sehari

SHAH ALAM – Perbuatan rasuah seorang Penolong Pegawai Seni Bina Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bernilai RM377,696 bagi kerja penyelenggaran kuarters MBPJ, tiga tahun lalu berbalas apabila didenda RM55,000 dan penjara sehari oleh Mahkamah Sesyen hari ini.

Hakim Rozilah Salleh menjatuhi hukuman itu selepas tertuduh, Ahmad Hasrul Ahmad Nordin, 43, mengaku bersalah atas dua pertuduhan pilihan yang dibacakan jurubahasa mahkamah.

Tertuduh juga diperintahkan penjara keseluruhan lima bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut. Ahmad Hasrul membayar denda tersebut.

Rozilah dalam penghakimannya menegaskan tindakannya telah menghalang kontraktor lain daripada mendapatkan kerja tersebut.

“Kamu sudah bekerja 20 tahun (dengan MBPJ), kamu kena insaf dan memulakan hidup baru,” jelasnya.

Berdasarkan kedua-dua pertuduhan, Ahmad Hasrul yang bekerja di Jabatan Kejuteraan MBPJ telah menerima wang tunai RM377,696 secara tiga berperingkat daripada pemilik sebuah syarikat bagi dua fasa termasuk tawaran semula kerja-kerja penyelenggaraan tahunan bagi kuarters MBPJ.

Wang itu diterima menerusi akaun bank miliknya, Hasraf Design Construction dan adiknya iaitu Zie Maju Construction di sebuah bank di Bandar Baru Petaling Jaya pada 5 Jun dan 31 Disember 2018.

Justeru, dia melakukan kesalahan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, sekiranya disabitkan kesalahan bagi setiap pertuduhan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh bertugas di Unit Penyelenggaraan Kuarters, MBPJ dipertanggungjawab menyelia dan menguruskan apa-apa aduan beberapa jenis kuarters telah menggunakan lesen sebuah syarikat bagi kerja-kerja penyelenggaran untuk syarikat miliknya dan adiknya dengan bayaran 5 peratus bayaran wang sewaan lesen syarikat itu.

Peguam Azizzul Shariman Mat Yusoff mewakili tertuduh memohon hukuman diringankan berikutan anak guamnya berkemungkinan akan dipecat selain perlu menanggung tiga orang anak termasuk seorang Orang Kelainan Upaya (OKU) Lembam.

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd. Aliff Shaharuzaman menegaskan tindakan tertuduh memanipulasi kontrak kerajaan seolah-olah memberi tanggapan buruk kepada imej penjawat awam yang sepatutnya mempunyai nilai integriti yang tinggi dan menjadi contoh kepada masyarakat secara amnya.

“Lebih buruk lagi tertuduh memperolehi hasil di atas tindakannya. Kesalahan ini serius dan akan menjadi barah di dalam perkhidmatan awam sekiranya tidak ditangani,” tegasnya.

Sumber : K! ONLINE


Hit : 2341