Berita Menarik

Dua pemandu bas didenda cuba rasuah pegawai Imigresen

SRI AMAN: Dua pemandu bas masing-masing didenda RM8,000 oleh Mahkamah Sesyen Sri Aman, hari ini, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menawarkan rasuah kepada pegawai Imigresen pada 16 Februari lalu.

Kedua-dua tertuduh turut berdepan hukuman penjara enam bulan jika gagal membayar denda dan mereka membayarnya selepas hukuman dijatuhkan oleh Hakim Steve Ritikos.

Mengikut fakta kes, kira-kira jam 3.10 pagi, 16 Februari lalu, tertuduh Peter Whan Jiew Liuk, 54, dan Robert Dana Apang, 45, bersama-sama menawarkan wang suapan bernilai RM1,100 kepada seorang pegawai Imigresen.

Wang sogokan itu ditawarkan kepada pegawai terbabit yang bersama anggota Unit Operasi Khas, Jabatan Imigresen Sarawak sedang menjalankan pemeriksaan terhadap sebuah bas di Kilometer 0.75 berdekatan Petronas RNR Layar di Betong.

Ia sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Antipemerdagangan dan Antipenyeludupan Migran 2007.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Mahkamah turut melucuthak ke dalam hasil kerajaan wang rasuah bernilai RM1,100 yang disita daripada kedua-dua tertuduh.

Sementara itu, di mahkamah sama, seorang lelaki, Kho Yak Choon, 55, didenda RM10,000 selepas mengaku bersalah menawarkan wang sogokan kepada anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang memeriksa rumahnya di Jalan Datuk Tawi Sli, Sri Aman pada jam 1.30 petang, 15 Februari 2019.

Wang sogokan bernilai RM3,000 itu ditawarkan kepada pegawai dan anggota Cawangan Risik Batalion 10 PGA sebagai ganjaran supaya tidak mengambil tindakan undang-undang terhadapnya kerana menyimpan barang seludup.

Dalam serbuan itu, anggota PGA menemui 163 kotak minuman keras milik tertuduh yang melakukan kesalahan mengikut Akta Kastam 1967.

Steve turut mengarahkan tertuduh dihukum penjara enam bulan jika gagal membayar denda itu dan dia membayarnya.

Sumber : Berita Harian


Hit : 2182