Berita Menarik

Pembantu tadbir mengaku tidak bersalah terima suapan RM1,500

KOTA KINABALU: Seorang kakitangan kerajaan Sabah mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menerima rasuah RM1,500 sebagai upah mempercepatkan permohonan bayaran balik bon pelaksanaan bagi dua projek pembaikan dan penyelenggaraan.

Duati Gunggut, 55, yang juga pembantu tadbir di Pejabat Daerah Kecil Sook di Keningau, mengaku tidak bersalah di hadapan hakim Mahkamah Khas Rasuah, Abu Bakar Manat selepas pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 20 Sept 2008 di Maybank cawangan Keningau, Lots 11 dan 12 Blok C di Kompleks Beli-belah Foo Loong, Keningau.

Tertuduh juga didakwa memperoleh wang itu sebagai upah mempercepatkan bayaran balik bon pelaksanaan dua projek di Sook, iaitu membaiki dan menggred jalan kebun Sakikilo serta menyelenggara surau Kampung Bukit Merah.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, mana-mana yang lebih tinggi.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam dibenarkan diikat jamin RM7,000 dan RM3,000 sebagai deposit bersama seorang penjamin.

Mahkamah juga menetapkan 27 Sept ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa SPRM, Rekraj Singh.

Sumber : FMT


Hit : 2058