Kolumnis@SPRM

Beban Kos Rasuah Ke Atas Pengguna

Oleh
TRICIA YEOH
Ketua Pegawai Eksekutif
Institute of Democracy and Economics Affairs (IDEAS)

Budaya rasuah yang telah berakar umbi di segenap lapisan masyarakat dan kian mencengkam telah mempengaruhi kehidupan harian kita. Namun begitu, belum banyak kajian yang dijalankan terhadap kesan serta beban kos akibat daripada rasuah ini kepada rakyat. Persoalannya, apakah kesan kos sara hidup yang ditanggung oleh rakyat Malaysia kerana perbuatan rasuah ini?

Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS) baru-baru ini telah menerbitkan kertas kerja dasar bersama Coalition for Business Integrity (CBI) bertajuk “Rasuah Dalam Rantaian Pembekalan: Bentuk dan Kesannya Terhadap Pengguna”.

Menerusi laporan ini, kami meneliti pelbagai bentuk rasuah, mengkaji kesan mendalam akibat budaya rasuah terhadap harga barang dan perkhidmatan pengguna serta menyelidik cadangan tindakan yang boleh diambil kerajaan dan pihak berkepentingan bagi mengurangkan tahap rasuah di Malaysia.

Kami memutuskan untuk memberi tumpuan isu rasuah dalam tiga sektor membabitkan sektor pembinaan, pendidikan dan kesihatan. Dalam kalangan masyarakat, rasuah ini menjadi salah satu kebiasaan dan lazimnya dikenali sebagai ‘Duit Kopi’. Selain itu, antara bentuk lain amalan ini termasuklah seperti pemerasan, penyelewengan dan penipuan. Malah, ‘pilih kasih’ juga salah satu bentuk amalan yang lebih halus dan lebih sukar untuk dikenal pasti.

Rasuah atau istilah yang lebih khusus iaitu suapan, berlaku hampir di setiap peringkat proses pembinaan. Ia bermula pada tahap pra-pembinaan iaitu ketika pemaju mengemukakan tender, kontraktor akan memberi suapan bagi mendapatkan projek tersebut. Pemberian suapan berlaku pada ketika pembinaan dijalankan sehingga ke pasca-pembinaan. Dianggarkan secara purata 14.8% nilai rasuah daripada jumlah pembinaan kasar berlaku bagi setiap projek yang berpunca daripada lapisan rasuah dalam rantaian pembekalan bahan.

Jadi, apakah kepentingan mengetahui angka-angka ini?

Bagi pengguna biasa perkara ia mungkin tidak penting, namun realitinya rasuah telah menimbulkan masalah dalam ekonomi. Kos amalan rasuah ini diagihkan pada setiap rantaian bekalan kepada pengguna dan secara langsung meningkatkan harga barang serta perkhidmatan di pasaran melalui pelbagai ketirisan transaksi.

Sebagai contoh, unit perumahan dijual pada harga yang jauh lebih tinggi oleh pemaju manakala yuran pengajian lebih tinggi dikenakan oleh institusi pendidikan tinggi. Hal ini terjadi bagi menampung ketirisan yang berlaku sepanjang rantaian pembekalan bahan.

Kos ini menyebabkan kenaikan harga kepada pengguna yang berada di hujung rantaian. Tambahan lagi, amalan rasuah ini kemudiannya menjadi penghalang bagi pihak yang ingin menyertai tender tersebut namun tidak mahu terlibat dengan amalan rasuah.

Jadi, biarpun syarikat memutuskan untuk menjalankan operasi secara bersih, mereka yang memonopoli industri dengan memenangi kontrak melalui rasuah menjadikan urusan pembayaran tidak adil. Ini seterusnya menjadi punca kepada kewujudan pasaran yang tidak berdaya saing.

Dalam pasaran yang berdaya saing, syarikat kebiasaannya menawarkan harga terendah kepada pengguna dengan kualiti terbaik. Hal ini membolehkan mereka memperoleh bahagian pasaran yang lebih besar berbanding pesaing mereka.

Sebagai contoh, Denmark mempunyai gaya hidup yang tertinggi (kuasa beli tinggi, kos sara hidup yang rendah), maka tidak menghairankan jika negara itu menduduki tempat pertama dalam kedudukan Trading Economic’s Corruption Rank pada tahun 2020. Manakala, Malaysia berada di kedudukan ke-57, turun dari tempat ke-51 pada tahun 2019.

Sementara itu, ketidakcekapan pasaran berlaku akibat ketirisan agihan sumber peruntukan. Ia berlaku apabila kontrak dan projek diberikan kepada mereka yang mempunyai hubungan, bukannya firma yang paling efisien dalam industri.

Pelabur asing juga terpaksa mengambil bahagian dalam amalan rasuah ini disebabkan halangan masuk yang tinggi. Jika perkara ini berterusan, ia mungkin akan mengurangkan jumlah Pelaburan Langsung Asing (FDI) di negara ini.

Apabila kualiti barang dan perkhidmatan menurun, kos sara hidup rakyat Malaysia meningkat kerana pengguna akhirnya terpaksa mencari produk yang lebih baik dengan kos yang lebih tinggi.

Mengapa kita masih membiarkan rasuah terjadi?

Hal ini timbul apabila ketidakselarasan (asimetri) maklumat menjadi penyebab berlakunya rasuah. Apabila terdapat jurang maklumat, peluang penyalahgunaan untuk kepentingan peribadi seseorang akan terbuka. Keinginan memenangi projek, mengekalkan perniagaan dan mendapatkan ‘duit kopi’ menjadi keutamaan.

Ia turut mendorong pihak yang terlibat untuk melakukan rasuah. Apabila pihak lain tidak dapat menunaikan tanggungjawab mereka dengan betul kerana mereka tidak memiliki maklumat yang mencukupi untuk menepis kegiatan rasuah, maka perbuatan itu secara automatik ditarik ke sisi pelaku.

Antara sebab lain berlakunya rasuah adalah untuk menghindari birokrasi dan mengelakkan penguatkuasaan. Dalam jangka masa pendek, amalan ini mungkin dianggap dapat melicinkan perjalanan dan pertumbuhan ekonomi. Namun, pergantungan yang besar terhadap rasuah akan memberi kesan buruk kepada ekonomi dalam jangka masa panjang kerana prosedur operasi standard yang telah digariskan menjadi semakin kabur. Ia hanya menguntungkan pihak-pihak tertentu dan jika dibiarkan, hanya mereka yang mempunyai hubungan berkepentingan akan memonopoli pasaran.

Namun demikian, cabaran terbesar ialah apabila rasuah sudah menjadi amalan di Malaysia. Ramai yang beranggapan bahawa suapan, pemerasan, penipuan, dan pilih kasih tidak boleh diatasi. Oleh itu, kebanyakan orang berasa malas untuk melaporkan rasuah atau mengelaknya daripada berlaku.

Kami juga mendapati bahawa tindakan melindungi pelaku berpotensi membentuk asas rasuah walaupun hal itu bukanlah satu bentuk perbuatan rasuah secara langsung. Perkara ini didorong oleh keperluan individu yang berkait dengan parti politik yang memberikan dana kepada parti masing-masing. Maka, perlu juga diteliti bagaimana Undang-Undang Pembiayaan Politik dapat menggalakkan ketelusan, bertanggungjawab dan tadbir urus yang baik dalam pembiayaan politik oleh individu tertentu.

Walaupun rasuah dalam politik tidak dikaji dalam laporan ini, ia juga dapat menjejaskan pengguna apabila sebahagian daripada kos diagihkan ke tempat lain.

Semua institusi dalam ekosistem pengawasan tindakan dan amalan rasuah mesti bekerjasama membendung jenayah ini. Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) perlu terus dilaksanakan dengan giat.

Pembaharuan dalam sistem perolehan awam adalah salah satu perkara paling penting. Rancangan untuk memperkenalkan Undang-Undang Perolehan Kerajaan harus diteruskan dan perlu merangkumi standard ketelusan serta mekanisme bagi mengkaji sistem yang digunakan pakai.

Paling utama, kedudukan SPRM mesti diperkukuhkan sebagai badan berperlembagaan dan kebebasannya daripada badan Eksekutif mesti dijamin. SPRM harus diberi autonomi untuk mengambil, mengetengah dan menguruskan kakitangannya sendiri.

Hal ini sangat penting memandangkan kakitangan yang dilantik menyertai SPRM harus memiliki kepakaran teknikal yang spesifik terutamanya apabila amalan rasuah kini meluas ke alam teknologi.

Malah, piawaian serupa mengikut Seksyen 17A Akta SPRM yang baru digubal dan digunapakai agar oleh sesebuah syarikat yang memikul tanggungjawab penuh perlu dikembangkan di semua sektor bagi mengurangkan risiko rasuah.

Ketelusan dan tanggungjawab harus menjadi tonggak berkembar dalam memerangi rasuah. Kini, kita tidak boleh membiarkan rasuah menjadi penghalang kepada keinginan rakyat untuk menjalani kehidupan yang selesa dan bermakna.

Kerajaan perlu menyedari bahawa membasmi rasuah harus paling kehadapan dalam urusan kehidupan rakyat. Pada saat negara menghadapi pelbagai krisis akibat pandemik, pengurangan kos sara hidup dengan menangani amalan rasuah adalah salah satu cara untuk menjaga rakyat kita.

Penafian : Tulisan ini adalah pandangan penulis dan tiada kaitan dengan pendirian rasmi SPRM.

Hit : 5143