Berita Menarik

‘Walau apa juga situasi, kamu ada akal, kamu tahu apa yang kamu buat itu betul atau tidak’ – Hakim

SHAH ALAM: “Tertuduh sebagai penjawat awam seharusnya bertanggungjawab dan amanah menjaga pintu masuk negara, tindakan (melepaskan warga asing keluar masuk) itu menggugat keselamatan negara.

“Walau apa juga situasi, kamu ada akal, kamu tahu apa yang kamu buat itu betul atau tidak, bukan ikut-ikut orang kerana ia melibatkan keselamatan negara”.

Demikian tegur Hakim Mahkamah Sesyen, Rozilah Salleh terhadap tiga pegawai imigresen yang bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) sebelum menjatuhkan hukuman denda terhadap mereka selepas masing-masing mengaku bersalah atas kesalahan menerima rasuah antara 2018 hingga November 2020.

Ketiga-tiga tertuduh, Mohammad Zulkiah Ibrahim, 29; Danny Supil, 42, dan Mohd. Syahmi Sapawi, 22, masing-masing mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan pilihan yang dibacakan terhadap mereka secara berasingan oleh jurubahasa mahkamah.

Kesemua tertuduh didakwa menggunakan kedudukan kerja rasmi mereka bagi membantu melepaskan warga asing tanpa melalui proses dan prosedur yang betul di klia2.

Mohd. Zulkiah yang yang merupakan Pegawai Imigresen gred KP19 mengaku bersalah telah diberikan suapan wang tunai berjumlah RM7,000 daripada Zul Anishaffizie Zakaria, 32, sebagai orang tengah untuk ejen warga asing.

Bagi pertuduhan utama, Mohammad Zulkiah yang berasal dari Sabah itu didakwa telah menerima wang tunai berjumlah RM7,000 daripada individu sama yang mana dia mengetahui ada kena mengena dalam kerja rasmi sebagai pegawai imigresen gred KP19 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh disyaki telah menerima rasuah daripada ejen-ejen sindiket aktiviti pemalsuan cap sempadan dan kemasukan serta pergerakan keluar warga asing dari Malaysia tanpa melalui proses yang betul.

Hasil daripada sumber wang haram tersebut, tertuduh telah membeli barang berharga berupa telefon bimbit jenis Iphone 11 Pro Max yang bernilai RM7,068, Oppo Reno 2 (RM2,299) dan jam tangan G Shock.

Danny yang bertugas sebagai Pegawai Imigresen Gred KP22 mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan menerima wang suapan berjumlah RM200 daripada Mohd. Shah Ezywan Abd. Rahman sebagai balasan membantu melepaskan warga China keluar dari Malaysia.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada tahun 2018 di Pusat Operasi, Bahagian Kawalan Keselamatan, Pejabat Imigresen Klia2.

Berdasarkan fakta kes, bapa kepada enam orang anak yang berasal dari Sabah itu telah menerima rasuah sebagai balasan melepaskan warga China yang mempunyai kesalahan seperti tinggal lebih masa, special pass palsu, blakclist dan refuse all imigration untuk pulang ke negara asal melalui kaunternya.

Warga China tersebut mempunyai tiket dan tiada E-Visa. Tertuduh telah menurunkan cap keselamatan open cop selama 120 jam dan mengimbas dalam sistem MyIMMS bagi melepaskan warga China tersebut yang ingin transit ke Indonesia.

Tertuduh ketiga, Mohd. Syahmi mengaku bersalah atas tiga pertuduhan pilihan iaitu pertuduhan pilihan ketiga, keempat dan kelima dan mengaku tidak bersalah atas dua lagi pertuduhan lain.

Berdasarkan pertuduhan pilihan ketiga, keempat dan kelima, tertuduh didakwa telah diberikan wang suapan berjumlah RM8,000 daripada individu sama di Maybank Islamic Berhad, klia2 pada 2 dan 15 Ogos 2020 serta 7 September 2020.

Anak sulung daripada dua beradik yang berasal dari Sibu, Sarawak itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan utama dan pertuduhan pilihan yang dikenakan terhadapnya.

Berdasarkan pertuduhan pertama, dia didakwa telah menerima rasuah wang tunai berjumlah RM10,000 di Valet Parking Balai Pelepasan klia2 pada 5 Disember 2019 manakala bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menerima rasuah RM3,600 di Maybank Islamic Berhad, klia2 pada 25 Januari 2020.

Berdasarkan fakta kes, hasil tangkapan dan penggeledahan yang dilakukan ke atas kediaman tertuduh mendapati dia telah membeli barang-barang berharga yang disita seperti lapan pasang kasut berjenama Adidas Yeezy, vape (7), beg Coach dan satu kotak berwarna putih yang mengandungi sepasang cincin (lelaki dan perempuan).

Rozilah turut menasihatkan Mohd. Syahmi supaya bersyukur apabila ditangkap dan tidak berterusan melakukan kesalahan tersebut.

“Kamu masuk kerja ketika berusia 19 tahun dan kini 22 tahun. Skop kerja itu memerlukan tahap integriti yang sangat tinggi. Pihak penguatkuasaan sepatutnya tidak meletakkan umur yang tidak matang dan muda di kaunter-kaunter utama.

“Tetapi itulah ujian kamu. Apabila ditawarkan apa-apa pun, kamu tahu itu (rasuah) salah, kamu kena buat aduan, tapi itu kamu tidak buat. Tidak sampai setahun kamu berkhidmat, sudah ada kesalahan (rasuah) dilakukan. Kamu patut bersyukur kerana ditangkap, kalau tidak kamu akan berterusan buat kesalahan ini,” jelasnya.

Kesemua tertuduh didakwa melanggar peruntukan Seksyen 2(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) (Akta 694) untuk menggalakkan integriti dan kebertanggungjawaban pentadbiran sektor awam serta gagal melaporkan kesalahan penyogokan kepada pihak SPRM atau pegawai polis yang paling hampir.

Mereka masing-masing didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 25(1) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 25(2) Akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah tidak mengenakan hukuman penjara terhadap ketiga-tiga tertuduh sebaliknya mereka masing-masing dikenakan hukuman denda dan jika gagal membayar denda, kesemua mereka diperintah untuk menjalani hukuman penjara.

Mohammad Zulkiah dikenakan hukuman denda sebanyak RM28,000 dan jika gagal bayar tiga bulan penjara, Danny (RM2,500 atau satu bulan penjara, jika gagal bayar) dan Mohd. Syahmi (RM9,000 bagi tiga pertuduhan pilihan).

Mahkamah memutuskan untuk melepaskan dan membebaskan Mohd. Syahmi untuk dua lagi pertuduhan mengambil kira selepas hukuman dijatuhkan bagi tiga pertuduhan lagi dalam kes itu.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya daripada SPRM, Fadhli Ab. Wahab manakala Mohammad Zulkiah dan Danny masing-masing diwakili peguam bela, Abdul Halem Mohamad Husin dan Mohamad Fauzi Mat Zin.

Mohd. Syahmi tidak diwakili peguam

Sumber : Utusan


Hit : 6709