Berita Menarik

Bekas pengurus inkubator MARDI mengaku tidak bersalah

KUALA TERENGGANU: Seorang bekas pengurus inkubator MARDI mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini atas pertuduhan salah guna kuasa untuk mendapatkan suapan bernilai RM17,000.

Tertuduh, Mohd Saiful Nizam, 40, yang bertugas di Besut membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman.

Tertuduh didakwa menggunakan jawatannya dengan mencadangkan sebut harga paling rendah syarikat milik sekutunya untuk mendapatkan kerja penambahbaikan sistem pemotongan bagi tujuan mempelbagaikan produk hasilan kilang jejari berjumlah RM17, 000 pada Mac 2015.
Dia didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian menetapkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dan 26 Julai ini tarikh sebutan semula kes.

Mahkamah turut meletakkan syarat tambahan iaitu pasport antarabangsa tertuduh perlu diserah kepada mahkamah dan tertuduh perlu melapor diri ke pejabat SPRM pada setiap 1 hari bulan sepanjang prosiding.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa SPRM, Nur Athikah Aziz manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Asaari Salleh.

Pada 25 Mei lalu, tertuduh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas pertuduhan melakukan pecah amanah sebanyak RM14,250.

Tertuduh didakwa melakukan pecah amanah dengan tidak menyerahkan wang pembayaran sewa kiosk bagi bulan Januari hingga September 2019 berserta deposit kepada Bahagian Kewangan MARDI Kuala Terengganu yang berjumlah RM14,250.

Sumber : Berita Harian

Hit : 1895