Kolumnis@SPRM

Rasuah dan Pemimpin Negara


Oleh

KPKPj Mohamed Tarmize Abd Manaf
Timbalan Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM


PERSEPSI RAKYAT TERHADAP PEMIMPIN NEGARA

Global Corruption Barometer - Asia 2020 oleh Transparency International menunjukkan rakyat Malaysia menganggap Ahli Parlimen paling banyak terlibat dengan rasuah (36%). Diikuti anggota polis (30%), penjawat awam (28%) dan eksekutif perniagaan (27%). Kajian ini melibatkan 1,000 responden.

 

Kajian Persepsi Keberkesanan Tindakan Pencegahan Rasuah oleh SPRM 2020 menunjukkan perkara yang sama. Kajian ini melibatkan 9,601 responden di seluruh negara. Berdasarkan kajian ini, 79.3% responden menganggap rasuah di sektor politik adalah paling tinggi, diikuti sektor penguatkuasaan (74.6%), pihak berkuasa tempatan (73.8%), Parlimen (72.1), sektor swasta (71.6%), sektor awam (71.3%), pertubuhan bukan kerajaan (66.3%), kehakiman (66%) dan media (65.6%).

 

Tanggapan buruk rakyat terhadap pemimpin negara bukan sesuatu yang mengejutkan. Persepsi sama turut berlaku di negara-negara lain di seluruh dunia. 

 

RASUAH OLEH PEMIMPIN DUNIA

Ramai pemimpin dunia yang telah tersungkur kerana rasuah. Mereka dihukum oleh undang-undang, karier politik musnah dan dihina rakyat sendiri. Berikut antara figura pemimpin antarabangsa yang akan terus dikenang dunia kerana mengetepikan amanah rakyat demi kantung perut sendiri.

 

a. Presiden Amerika Syarikat, Richard Nixon - Nixon terlibat dalam Skandal Watergate, skandal pemimpin negara terbesar dalam sejarah Amerika Syarikat. Beliau dikaitkan dengan rasuah, salah guna kuasa dan menggunakan taktik kotor semasa kempen pilihan raya presiden 1972. Antaranya melalui intipan ke atas pejabat parti lawan dan melakukan gangguan terhadap aktivitis serta tokoh pemimpin dari parti lawan. 

 

Akibat skandal itu, Timbalan Presiden, Spiro Agnew meletak jawatan pada 10 Oktober 1973. Agnew dituduh di mahkamah kerana rasuah, kesalahan mengelak cukai (tax evasion) dan jenayah pengubahan wang haram. Kemuncak Skandal Watergate apabila Nixon meletak jawatan pada 9 Ogos 1974. Beliau menjadi Presiden pertama yang berbuat demikian dalam sejarah negara itu.

 

b. Perdana Menteri Jepun, Kakuei Tanaka - Tanaka terlibat dalam Skandal Lockheed yang berkaitan pembelian 21 pesawat Airbus oleh All Nipon Airways. Tanaka ditangkap dan didakwa di mahkamah pada 16 Ogos 1976 kerana menerima suapan 500 juta Yen ($2.1 juta). Rasuah bertujuan agar Tanaka mempengaruhi All Nippon Airways membeli 21 pesawat Airbus Lockheed’s L-1001 Tristar

 

Pada 12 Oktober 1983, Tanaka disabitkan dengan kesalahan. Beliau dijatuhkan hukuman empat tahun penjara dan denda 500 juta Yen. Tanaka meninggal dunia pada 16 Disember 1993 ketika proses rayuannya masih belum selesai.

 

c. Presiden Filipina, Ferdinand Edralin Marcos - Semasa era pemerintahan Presiden Marcos selama 21 tahun, amalan kronisme amat ketara berlaku. Sanak saudara dan kenalan rapat beliau dilantik mengetuai pelbagai agensi dan perbadanan. Dianggarkan Presiden Marcos telah menggelapkan wang kerajaan sebanyak $5 bilion ke $10 bilion. Beliau juga dikatakan telah mengumpulkan $15 bilion kekayaan peribadi, satu jumlah mengatasi lebih daripada separuh hutang negara. Presiden Marcos dan isterinya, Imelda hidup mewah. 

 

Rakyat Filipina bangkit memberontak sehingga terjadinya pilihan raya mengejut dan Revolusi Kuasa Rakyat (People Power Revolution) pada Februari 1986. Akhirnya Presiden Marcos digulingkan. Beliau dan isteri melarikan diri ke Hawaii. Presiden Marcos meninggal dunia dalam buangan di Honolulu, Hawaii, Amerika Syarikat pada 28 September 1989.

 

d. Presiden Republik Taiwan, Chen Shui-bian - Chen menjadi Presiden Taiwan selama dua penggal iaitu mulai 20 Mei 2000 hingga 20 Mei 2008. Selepas sejam meletak jawatan sebagai Presiden, beliau ditahan oleh pihak berkuasa Taiwan kerana tuduhan rasuah dan salah guna kuasa. Pada 13 Disember 2008, Chen dan isterinya dihadapkan ke mahkamah atas dakwaan melakukan penyelewengan dana khas presiden berjumlah NT$104 juta  ($3.12 juta); dan menerima rasuah $11.73 juta berkaitan perolehan tanah kerajaan di Longtan serta sebuah lagi projek pembinaan.

 

Pada 11 November 2010, Republic of China Supreme Court menjatuhkan hukuman penjara selama 19 tahun ke atas Chen dan isteri. Beliau menjadi ketua kerajaan pertama yang dipenjarakan dalam sejarah Taiwan. 

 

e. Perdana Menteri Korea Selatan, Han Myeong-sook - Han merupakan wanita pertama yang dilantik sebagai Presiden Korea Selatan (19 April 2006 - 7 Mac 2007). Pada 22 Disember 2009, Han dituduh di mahkamah kerana menerima rasuah berbentuk sumbangan politik yang tidak sah berjumlah $760,000 daripada seorang eksekutif syarikat pembinaan. Sumbangan tersebut dikatakan untuk membiayai kempen pilihan raya Han untuk bertanding jawatan Presiden Korea Selatan pada tahun 2007. Han disabitkan kesalahan dan dijatuhkan hukuman penjara dua tahun serta denda $741,800. 

 

f. Presiden Indonesia, Mohamed Suharto - Pemerintahan Suharto selama 32 tahun dibayangi skandal rasuah, amalan kronisme, pemerintahan diktator dan penindasan. Transparency International menganggarkan jumlah penyelewengan yang dilakukan oleh Suharto adalah sekitar $15 bilion hingga $35 bilion. Cubaan untuk mendakwa beliau atas kesalahan rasuah dan jenayah lain gagal kerana masalah kesihatan. Pada 27 Januari 2008, Suharto meninggal dunia setelah mengalami masalah kompilasi jantung, paru-paru dan ginjal. Ketika itu, umurnya 86 tahun.

 

Pada 8 Julai 2015, Mahkamah Agong Indonesia mengarahkan enam anak Suharto dan Yayasan Beasiswa Supersemar membayar balik 4.389 trilion rupiah (S$450 million), iaitu wang yang pernah diseleweng semasa era pemerintahan diktator itu.

 

g. Lain-lain - Pemimpin-pemimpin dunia lain yang kecundang kerana rasuah termasuklah Ehud Olmert (Perdana Menteri Israel) yang terpaksa meringkuk di penjara selama 18 bulan; Randy Duke Cunningham (Ahli Dewan Perwakilan Amerika Syarikat), dipenjara lapan tahun empat bulan dan diarahkan membayar balik wang berjumlah $1.8 juta; Alberto Fujimori (Presiden Republik Peru) dipenjara enam tahun; Slobodan Milosevic (Presiden Serbia) yang meninggal dunia ketika perbicaraan terhadapnya masih berlangsung; Mobutu Sese Seko (Presiden Republik Congo) digulingkan oleh rakyat dan mati dalam buangan; dan Thaksin Shinawatra (Perdana Menteri Thailand) digulingkan oleh tentera dan hidup dalam buangan sehingga kini. 

 

BUNUH DIRI AKIBAT TERTEKAN

Pemimpin negara adalah pemimpin kepada masyarakat, dipandang tinggi dan menjadi idola bagi sesetengah orang. Didakwa terlibat rasuah sudah pasti memberi tekanan maha dahsyat kepada mereka. Sejarah merekodkan beberapa insiden melibatkan pemimpin negara  yang membunuh diri akibat tertekan dan malu kerana rasuah yang dilakukan. 

 

a. Toshikatsu Matsuoka (Menteri Pertanian, Perhutanan dan Perikanan Jepun) – Toshikatsu adalah ahli politik Jepun semasa pentadbiran Perdana Menteri Shinzo Abe. Beliau berhadapan dengan dakwaan rasuah dan penyelewengan wang kerajaan. Beliau dikatakan telah berbelanja lebih 28 juta yen ($236,600, £118,300) untuk utiliti pejabat rasminya. Padahal, beliau sebenarnya tidak perlu membayar apa-apa sewa dan belanja utiliti bagi pejabat tersebut. Sebelumnya, Matsuoka memohon maaf kerana kegagalan untuk mengisytiharkan sumbangan politik yang diterimanya. 

 

Pada 28 Mei 2007, Matsuoka membunuh diri (dengan menggantung diri) di pangsapurinya dan meninggal dunia di Hospital Universiti Keio, Tokyo. Pada hari itu, beliau dijadualkan ke Parlimen untuk menjawab kepada Jawatankuasa Parlimen berhubung dakwaan rasuah dan penyelewengan. 

 

b. Robert Budd Dwyer (Ahli Senat Pennsylvania) – Sekitar tahun 1980-an, penjawat awam di Pennsylvania didapati terlebih bayar cukai Federal Insurance Contributions Actberjumlah jutaan dolar. Dwyer didakwa menerima rasuah berjumlah $300,000 bagi memastikan syarikat Computer Technology Associates (CTA) dilantik kerajaan bagi menentukan bayaran balik lebihan cukai kepada pekerja awam. Pada 18 Disember 1986, Dwyer didapati bersalah oleh mahkamah dan dijatuhkan hukuman 55 tahun penjara serta denda $300,000. 

 

Pada 22 Januari 1987 iaitu sehari sebelum beliau mula menjalani hukuman, Dwyer mengadakan sidang akbar di ibu negeri Pennsylvania, Harrisburg. Di dalam sidang akhbar tersebut, Dwyer mengeluarkan sepucuk revolver .357daripada sampul surat sebelum membunuh diri dengan memasukkan revolver itu ke mulut dan menembaknya. Sehingga kini, video tersebut masih boleh ditonton di YouTube.

 

c. Teh Cheang Wan (Menteri Pembangunan Singapura) – Kontraktor binaan, Liu Cho Hit menawarkan sogokan SGD1,000,000 kepada seorang lagi kontraktor, Liaw Teck Kee bertujuan meminta Liaw melindungi Menteri Pembangunan Singapura, Teh Cheang Wan yang sedang disiasat kerana rasuah. 

 

Liaw bukan sahaja menolak tawaran tersebut malah membuat laporan kepada Corrupt Practices Investigation Bureau (CPIB). Dalam keterangan Liaw kepada CPIB, Liaw mengaku bahawa beliau yang berperanan sebagai ‘orang tengah’, telah dua kali memberi sogokan kepada Teh Cheang Wan, setiap kali bernilai SGD500,000. Daripada jumlah SGD1,000,000, Teh Cheang Wan memberi komisen SGD200,000 kepada Liaw. 

 

Teh Cheang Wan disoal siasat oleh CPIB. Akibat tertekan, beliau akhirnya bertindak membunuh diri pada 14 Disember 1986. 

 

PUNCA RASUAH: KUASA TANPA INTEGRITI

Kuasa yang tidak dipandu oleh integriti menjadi punca utama seseorang pemimpin politik itu terlibat rasuah. Kedudukan dan kuasa boleh menyebabkan seseorang pemimpin itu hilang pedomen. Benarlah seperti ungkapan Presiden Amerika Syarikat Ke-16, Abraham Lincoln, “Nearly all men can stand adversity, but if you want to test a man’s character, give him power.” 

 

Kedudukan dan kuasa membuka banyak peluang untuk seseorang itu melakukan rasuah. Sekiranya tiada integriti, mereka cenderung untuk menyalah guna kuasa, menyeleweng wang rakyat dan suapan acap kali menjadi penentu sesuatu keputusan penting.

 

Pengkritik sosial terkenal England, John Emerich Edward Dalberg Acton atau Lord Acton (1834-1902) memberi amaran mengenai bahaya kuasa. Beliau berkata, “Power tends to corrupt and absolute power corrupt absolutely”. Antara orang yang berkuasa dan jenayah rasuah, hanya integriti menjadi benteng. Tanpa integriti, keuntungan peribadi sudah pasti mengatasi amanah yang dipikul. Mata dan akal menjadi rambang dek harta dan kekayaan. Perut sendiri didahulukan berbanding kepentingan rakyat.

 

Wahai Yang Berhormat sekalian, peliharalah integriti anda. Laksanakan amanah rakyat dengan sebaiknya. Hanya itu harapan kami, rakyat yang telah memilih anda.


Hit : 2090