Berita Menarik

Dua kakitangan Bahagian Komunikasi Korporat UIAM didakwa

SHAH ALAM: Dua kakitangan termasuk seorang pegawai Bahagian Komunikasi Korporat Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas kesalahan menerima rasuah berjumlah RM69,892 lapan tahun lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Mohd. Hakimi Badrol Afandi, 44, merupakan penolong pengarah dan Yusri Said, 49, selaku pembantu tadbir kanan mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Mengikut pertuduhan, Mohd. Hakimi yang merupakan pegawai Gred N41 didakwa satu pertuduhan utama dan pilihan iaitu memperoleh rasuah wang tunai sebanyak RM5,000 daripada seorang individu sebagai dorongan untuk membantu memudahkan urusan syarikat NII Resources mendapatkan kerja-kerja berkaitan baucar bayaran bernombor PV11314000051 bertarikh 7 Mac 2014 -Exhibition Panels (EZ Line 20).

Mohd. Hakimi yang sudah berkhidmat lebih 12 tahun di UIAM didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah restoran di Gombak, dekat sini pada 12 Mac 2014.

Manakala, Yusri (Gred N22) didakwa dengan sembilan pertuduhan utama dan pilihan melibatkan jumlah keseluruhan RM64,892.

Yusri yang telah berkhidmat di UIAM selama 30 tahun didakwa menerima wang tunai berjumlah RM62,892 daripada individu sama sebagai dorongan untuk membantu memudahkan urusan syarikat Iklanika Sdn. Bhd., NII Resources dan Niin Resources mendapatkan kerja-kerja berkaitan baucar bayaran bagi kerja-kerja penerbitan, percetakan, booth, baik pulih galeri di UIAM.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat Iklanika Sdn. Bhd. di Pusat Bandar Sri Gombak, GB Auto Sdn. Bhd. di Batu Caves, Gombak antara 8 Februari 2014 hingga 30 Mac 2015.

Yusri yang mempunyai pendapatan bulanan sebanyak RM3,200 turut didakwa menerima suapan tersebut bagi bayaran pendahuluan pembelian kereta jenis Volkswagen Polo H/B 1.6 dengan nombor pendaftaran BMR49.

Bapa kepada dua orang cahaya mata itu turut didakwa menerima suapan melalui cek berjumlah RM2,000 bagi bayaran Body Kit Volkswagen Polo berkenaan selain menerima wang tunai RM3,800 untuk membeli nombor pendaftaran BMR49 terbabit.

Bagi kesemua pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(10) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Bagi pertuduhan pilihan pula, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa SPRM, Mohd. Aliff Shaharuzaman menawarkan masing-masing RM10,000 dan RM30,000 jaminan terhadap kedua-dua tertuduh selain memohon syarat tambahan pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah serta perlu melapor diri di pejabat SPRM terdekat pada minggu pertama setiap bulan.

Peguam mewakili kedua-dua tertuduh, Norman Mohd. Nasir memohon jumlah jaminan yang lebih rendah dan munasabah memandangkan anak-anak guamnya memberikan kerjasama penuh setiap kali dipanggil untuk membantu siasatan.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan masing-masing RM5,000 dan RM30,000 terhadap kedua-dua tertuduh selain membenarkan syarat tambahan yang dimohon oleh pihak pendakwaan dan tarikh sebutan semula kes pada 29 Jun hadapan.

Yusri turut diarahkan untuk menyerahkan pasport antarabangsa miliknya yang tertinggal di rumah sebelum 8 Jun hadapan.

Sumber : Utusan


Hit : 2605