Kes-kes Menarik

Bekas pengurus MARDI tidak mengaku pecah amanah

KUALA TERENGGANU: Bekas pengurus Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini atas pertuduhan melakukan pecah amanah sebanyak RM14, 250.

Tertuduh, Mohd Saiful Nizam, 40, mengangguk faham sebelum mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Dazuki Ali.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan pecah amanah dengan tidak menyerahkan wang pembayaran sewa kiosk bagi bulan Januari hingga September 2019 berserta deposit kepada Bahagian Kewangan MARDI Kuala Terengganu yang berjumlah RM14,250.

Tertuduh yang juga merangkap pengurus dana yang bertugas di MARDi Kuala Terengganu didakwa melakukan kesalahan itu pada Januari hingga September 2019.

Dia yang didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan dengan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 23 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut menetapkan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada setiap 1 hari bulan dan menyerahkan passport antarabangsa kepada mahkamah sepanjang prosiding berlangsung.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Nur Athikah Aziz manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sumber : Berita Harian


Hit : 295