Berita Menarik

Kes kartel daging: 4 penguat kuasa Maqis, pengurus syarikat didakwa

Empat penguat kuasa MAQIS hadapi 10 tuduhan

Empat penolong pegawai penguat kuasa Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dan seorang pemilik syarikat logistik, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas tuduhan rasuah dan mengemuka butiran palsu, berhubung kes kartel daging.

Dua tertuduh, Nor Azlan Mat Suki, 40 dan Mohd Hafizan Khalid, 44, yang juga Penolong Pegawai Penguat kuasa MAQIS, bagaimanapun mengaku tidak bersalah, selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan, di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Nor Azlan dan Mohd Hafizan masing-masing didakwa atas lima serta satu pertuduhan menerima rasuah bernilai RM37,500 bagi melepaskan 41 kontena yang membawa daging sejuk beku milik Syarikat ZS Armin Sdn Bhd, dari negara tidak diiktiraf Jabatan Veterinar.

Kesalahan berkenaan masing-masing dilakukan di restoran di Iskandar Puteri dan Johor Bahru, di antara Disember 2016 hingga April 2017.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai suapan atau RM10,000, mana-mana yang lebih tinggi,jika sabit kesalahan.

Seorang pengurus syarikat logistik, Abdul Latif A Rahman, 55, turut mengaku tidak bersalah, terhadap dua pertuduhan pilihan dengan memalsukan dokumen Borang Pengakuan Barang-Barang Yang Diimport, pada Oktober lalu.

Bagi dua pertuduhan pilihan itu, Abdul Latif, didakwa memalsukan dokumen Borang Pengakuan Barang-Barang Yang Diimport, bagi Syarikat LY Frozen Sdn Bhd, dengan nama dan tandatangan pembuat akuan yang sebenarnya sudah meninggal dunia pada 2009, bagi mengelirukan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Kesalahan itu dilakukan di Wisma Kastam Pelabuhan Tanjung Pelepas, Gelang Patah, Iskandar Puteri masing-masing pada 5 Oktober dan 9 November tahun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 18 Akta SPRM,yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai butiran palsu atau RM10,000, mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, dua lagi Penolong Pegawai Penguat kuasa MAQIS Gred KP29, Mohammad Sofyan Mohd Zin, 27, dan Khairul Izat Sulaiman, 31, mengaku bersalah masing-masing atas pertuduhan gagal melaporkan penerimaan rasuah bernilai RM130, Oktober lalu.

Mohammad Sofyan dan Khairul Izat masing-masing dituduh gagal melaporkan menerima rasuah sebanyak RM30 dan RM100 daripada Abdul Latif sebagai ejen penghantaran QFF Logistic Sdn Bhd bagi mempercepat proses pemeriksaan dokumen dan fizikal konsainan.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di pejabat MAQIS, Kompleks Sultan Abu Bakar, Gelang Patah, pada 5 Oktober dan 10 November tahun lalu.

Bagi kesalahan itu, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 25(1) Akta SPRM 2009, yang membawa hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Suhaili Sapun dan Wan Shaharuddin Wan Ladin dengan Nor Azlan diwakili Peter Tan, Mohd Hafizan diwakili Mohd Razak Sharif dan Abdul Latif diwakili S Vijaya, manakala Mohammad Sofyan pula tidak diwakili peguam.

Hakim memerintahkan Nor Azlan dan Mohd Hafizan masing-masing diberi jaminan RM7,000 manakala Abdul Latif RM8,000 serta Mohammad Sofyan RM5,000.

Mahkamah turut menetapkan 29 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen.

Dalam pada itu, Khairul Izat didenda RM1,500 atau sebulan penjara jika gagal bayar denda, selepas mengaku bersalah atas kesalahan gagal melaporkan penerimaan rasuah sebanyak RM100.

Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail membuat keputusan berkenaan selepas berpuas hati dengan mitigasi yang dilakukan Suhaili dan peguam, S Selvam.

Mengikut fakta kes, Khairul Izat menerima rasuah RM100 daripada Abdul Latif, sebagai balasan meluluskan konsainan import yang dilabel 'frozen beef body fat' pada 10 November tahun lalu.

Sumber : Berita Harian

Hit : 2423