Berita Menarik

Pegawai perikanan didakwa lulus tender kepada syarikat adik ipar

Seorang pegawai Jabatan Perikanan didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan salah guna kuasa dengan meluluskan tender kepada sebuah syarikat milik adik ipar bernilai RM71,694 pada Mei 2019.

Tertuduh, Mohd Rafi Hassan, 56, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zaman Mohd Noor.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan jawatan sebagai Ketua Cawangan Akuakultur di Pejabat Perikanan Kelantan untuk mendapatkan suapan apabila meluluskan tender bagi membekal dan menghantar tangki akuakultur.

Tender itu diluluskan kepada pemilik YY Indah Enterprise, Yusneffa Yahya yang juga adik ipar tertuduh dengan nilai pembekalan sebanyak RM71,694. Kesalahan itu dilakukan di Pejabat Perikanan Kelantan, Kota Bharu pada 12 Mei 2019.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Hamizah Ghazali dan tertuduh diwakili peguam, Cheah Poh Loon.

Terdahulu, Nor Hamizah memohon jaminan dikenakan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan meminta syarat-syarat dikenakan termasuk menyerahkan pasport tertuduh serta melaporkan diri di pejabat SPRM.

Poh Loon pula memohon jaminan minimum dikenakan memandangkan anak guamnya masih bertugas sebagai pegawai Jabatan Perikanan di Putrajaya dan tiada sebab untuk tidak memberi kerjasama kepada mahkamah.

Mahkamah kemudiannya menawarkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin dan meminta tertuduh menyerahkan pasport serta melaporkan diri di pejabat SPRM terdekat setiap awal bulan.

Mahkamah juga menetapkan 18 Mei sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sumber : Berita Harian


Hit : 2563