Berita Menarik

Pengarah syarikat didakwa rasuah penguat kuasa KPDNHEP

Seorang pengarah syarikat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban atas pertuduhan memberi rasuah berjumlah RM100,000 kepada penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan, tahun lalu.

Wong Yeng Fart, 49, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus jurubahasa mahkamah membacakan pertuduhan terhadapnya di hadapan Hakim Datin Surita Budin.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa memberi rasuah wang tunai RM100,000 kepada dua individu, iaitu pegawai dan penolong pegawai penguat kuasa KPDNHEP Negeri Sembilan yang bertugas di Unit Kawalan Bekalan, Seksyen Penguat kuasa, sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap semua pemilik sebuah syarikat yang melakukan kesalahan bawah Akta Cap Dagangan 2019.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah restoran di Seremban 2 pada 4 Februari 2020, mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Azriff Firdaus Mohamad Ali, manakala tertuduh tiada diwakili peguam.

Surita kemudian menetapkan ikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di pejabat SPRM Negeri Sembilan setiap bulan.

Mahkamah turut menetapkan sebutan semula kes pada 23 April depan.

Sumber : Berita Harian


Hit : 2031