Berita Menarik

Terima Sogokan Syarikat Pengangkutan, 8 Kakitangan JPJ direman

Terima sogokan syarikat pengangkutan, 8 kakitangan JPJ direman

Seramai 10 individu termasuk lapan kakitangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah direman pagi ini, kerana disyaki terbabit dalam kegiatan rasuah dan melindungi lori pengangkutan di Kedah.

Semua suspek berusia 29 hingga 63 tahun ditahan dalam operasi khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah di sekitar Alor Setar dan Kulim bermula jam 8.25 pagi semalam.

Difahamkan, lapan kakitangan JPJ Kedah termasuk seorang wanita disyaki terbabit menerima suapan daripada pengusaha dan pekerja syarikat pengangkutan bagi mengelak tindakan diambil ke atas lori milik syarikat terbabit.

Antara kesalahan dilakukan lori milik syarikat pengangkutan terbabit ialah membawa barangan lebih muatan dan tidak mematuhi peraturan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Seramai dua lagi individu iaitu orang awam dan pesara pula dipercayai menjadi orang tengah kepada syarikat pengangkutan dalam berurusan bersama kakitangan penguatkuasaan berkenaan.

Semua mereka disiasat mengikut Seksyen 16(a) dan 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Operasi yang dilakukan SPRM Kedah dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan sama dilakukan kakitangan JPJ Pulau Pinang yang ditahan pada 2019 lalu.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terbabit dan memaklumkan kenyataan penuh berhubung operasi itu akan dibuat SPRM Putrajaya dalam tempoh terdekat.

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/03/684529/terima-sogokan-syarikat-pengangkutan-8-kakitangan-jpj-direman


Hit : 2632