Kolumnis@SPRM

DNAA : Boleh dituduh semula?

WAWANCARA EKSKLUSIF SIN CHEW DAILY
BERSAMA KETUA PESURUHJAYA SPRM

Lepas tidak bermakna tidak bersalah, boleh dituduh lagi

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki mengingatkan orang ramai bahawa keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) tidak bermaksud individu berkenaan dibebaskan sepenuhnya namun masih boleh dituduh pada bila-bila masa sekiranya diberi keizinan mendakwa daripada Jabatan Peguam Negara

Beliau berkata demikian dalam wawancara eksklusif bersama Sin Chew Daily bagi mengulas kes-kes yang diakhiri dengan keputusan DNAA, antaranya ialah Riza Shahriz Abdul Aziz dan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Tegasnya, keputusan pendakwaan adalah di luar bidang kuasa SPRM kerana sistem keadilan jenayah di negara ini berpaksikan kepada tiga pengasingan kuasa iaitu eksekutif, legislatif dan kehakiman.

Justeru, katanya, SPRM tidak boleh dipersalahkan sekiranya sesuatu keputusan dijatuhkan oleh mahkamah kerana ia adalah di luar bidang kuasa suruhanjaya ini.

Beliau juga menasihati pihak yang memberi komen tentang isu tersebut yang mana komen-komen yang diberi perlu berlandaskan fakta sebenar kerana komen-komen yang tidak berlandaskan fakta akan menyumbang kepada persepsi negatif sekali gus menjejaskan imej dan reputasi suruhanjaya ini yang selama ini tidak pernah memihak kepada mana-mana individu ketika menjalankan siasatan. 

Kedudukan dan skor CPI merosot, tidak adil jika salahkan SPRM

Berhubung keputusan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2020 yang menunjukkan kedudukan Malaysia jatuh dari tangga ke-51 ke tangga ke-57 dan skor merosot dari 53 kepada 51, jelas beliau, adalah tidak adil jika SPRM dipersalahkan susulan hasil dapatan tersebut.

Beliau menjelaskan bahawa, CPI merupakan satu kajian yang mengambil kira pandangan segelintir kumpulan masyarakat melibatkan beberapa aspek yang mana hasil kajian tersebut akan dipengaruhi oleh faktor-faktor tertentu seperti laporan audit negara dan kestabilan politik semasa.

Bagaimanapun, jelasnya, CPI perlu diambil perhatian walaupun berkemungkinan persepsi tersebut tidak tepat berdasarkan sembilan kajian serta responden dalam kalangan ekspatriat dan golongan ahli perniagaan kerana ia merupakan satu peringatan kepada kita untuk memperbetulkan banyak perkara, khususnya dalam sistem tadbir urus dalam pentadbiran kerajaan.

Tambah Azam, tidak dapat dinafikan ada beberapa pihak yang mempersoalkan keberkesanan SPRM dalam memerangi jenayah rasuah selepas TI-M mengumumkan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2020 baru-baru ini dan seperti yang dinyatakan dalam kenyataan rasmi sebelum ini, SPRM mengambil maklum cadangan penambahbaikan daripada TI-M dan akan mengkaji serta meneliti cadangan yang dikemukakan tersebut.

Namun, jelas beliau, berhubung cadangan-cadangan daripada TI-M, ada perkara-perkara di luar bidang kuasa SPRM seperti isu-isu polisi kerajaan, justeru, perkara yang terlibat dengan tadbir urus perlu diperkemaskan lagi di agensi-agensi kerajaan kerana usaha menutup ruang dan peluang rasuah perlu dipatuhi bagi memastikan persepsi negatif dapat dikurangkan.

Oleh yang demikian, beliau sekali lagi menegaskan bahawa adalah tidak adil jika SPRM dipersalahkan disebabkan kemerosotan kedudukan Malaysia dalam CPI kerana masyarakat perlu melihat kepada realiti bahawa SPRM hanya boleh menjalankan tugas berdasarkan bidang kuasa yang diperuntukkan mengikut undang-undang sedia ada.

Bagaimanapun, ujarnya, SPRM mengalu-alukan setiap cadangan penambahbaikan yang dikemukakan daripada setiap pihak demi kepentingan organisasi supaya prestasi SPRM dapat dipertingkatkan bagi menjamin kebajikan rakyat dan negara.

Berhubung tadbir urus negara pula, kata Azam, ada beberapa perkara yang perlu diperbetulkan, antaranya Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 yang dilancarkan pada awal tahun lalu yang mana kerajaan perlu melihat serta mengadakan perbincangan dengan pihak-pihak tertentu.

Dalam pada itu, Azam berjanji pihaknya akan terus menjalankan aktiviti penguatkuasaan dan juga didikan masyarakat secara berkesan selain membantu kerajaan dalam meningkatkan tadbir urus dalam negara ini agar mencapai skor yang lebih baik pada masa akan datang.

Pelaku rasuah cuba sedaya upaya lari daripada 'radar' SPRM, teknologi moden menyukarkan lagi usaha memerangi rasuah

Menurut Azam, memerangi jenayah rasuah bukan satu perkara yang mudah, terutamanya pada era moden ini kerana dengan kemajuan teknologi, jenayah rasuah lebih sukar dikesan kerana pelaku rasuah akan menggunakan pelbagai cara untuk melakukan kegiatan tersebut bagi melepaskan diri daripada ‘radar’ SPRM.

Jelasnya, kini, adalah lebih sukar dan mencabar untuk mengesan aktiviti rasuah kerana SPRM bukan sahaja perlu membuktikan salah laku seseorang pelaku rasuah dalam era yang berteknologi tinggi, pada masa yang sama juga perlu berdepan dengan pelaku rasuah yang licik dalam menggunakan undang-undang untuk melepaskan diri daripada dikenakan tindakan.

Dari segi cabaran yang dihadapi SPRM dalam usaha memerangi jenayah rasuah, ujarnya, sepanjang tempoh menjadi Ketua Pesuruhjaya SPRM, beliau mengakui berdepan dengan cabaran yang besar disebabkan isu pandemik yang melanda di negara ini khususnya dari segi operasi dan program pencegahan disebabkan arahan pematuhan SOP yang ditetapkan oleh kerajaan.

Dari sudut operasi, katanya, kekangan yang dihadapi ialah mendekati suspek dan saksi yang diperlukan untuk membantu siasatan kes SPRM disebabkan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat perlu dipatuhi serta pergerakan yang terhad berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). 

Dari sudut pencegahan pula, tambahnya, aktiviti mendekati rakyat seperti program dan ceramah bagi meningkatkan kesedaran tentang pencegahan rasuah juga tidak dapat dilaksanakan disebabkan isu pandemik. 

Bagaimanapun, jelas Azam, bagi menangani cabaran yang tidak diduga tersebut, SPRM telah mewujudkan SOP dalaman yang lebih ketat dalam aspek operasi khususnya dari segi pengendalian Orang Kena Tangkap (OKT) dan saksi manakala dalam aspek pencegahan pula, program dan ceramah dilaksanakan secara maya yang mana platform dalam talian digunakan bagi sesi pembelajaran subjek integriti dan rasuah.

Selain itu, katanya, kesemua program dan kursus anjuran Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) juga dikendalikan secara maya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa ini jelas membuktikan cabaran tersebut tidak menghalang SPRM daripada meneruskan tugas yang diamanahkan dan suruhanjaya ini akan menggunakan kaedah terbaik serta bersesuaian dalam menjalankan tindakan penguatkuasaan serta mendidik masyarakat.

Pada masa yang sama, Azam juga memohon kesabaran daripada semua pihak dan beliau memberi jaminan bahawa tindakan akan diteruskan tanpa keraguan seperti sebelum ini asalkan kes yang dirujuk adalah di dalam bidang kuasa SPRM.

Sementara itu, kata Azam, strategi mantap diperlukan bagi memastikan keberkesanan dalam memerangi jenayah rasuah, oleh itu, SPRM menekankan tiga strategi utama iaitu penguatkuasaan, pencegahan dan pendidikan. 

Dari segi penguatkuasaan, katanya, SPRM memberi fokus kepada isu-isu ketirisan dana, isu kepentingan awam dan keselamatan negara dengan menggunakan kekuatan tenaga kerja sedia ada sepenuhnya. 

Dari segi pencegahan, jelasnya, SPRM menjalinkan kerjasama dengan beberapa pihak, antaranya dengan agensi-agensi kerajaan dan swasta bagi memastikan isu rasuah dapat ditangani di setiap peringkat dengan lebih menyeluruh dan berkesan. 

Dalam aspek pendidikan pula, tambah beliau, SPRM menekankan usaha meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kepentingan untuk bekerjasama dengan SPRM dalam memerangi jenayah rasuah kerana memerangi rasuah tidak boleh bergantung kepada SPRM semata-mata.

Secara ringkasnya, tegas beliau, fokus SPRM pada tahun 2020 dan 2021 adalah untuk mengurangkan ketirisan dan isu-isu yang boleh menjejaskan keselamatan dan sosio budaya di negara ini. 

Namun, katanya, ia tidak bermaksud rasuah dalam lain-lain sektor tidak diutamakan kerana jika ruang dan peluang rasuah di negara ini tidak ditutup, kita akan dipandang sebagai sebuah negara yang berdepan dengan jenayah rasuah yang serius.

Dalam perkembangan lain, kata Azam, Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010, identiti pemberi maklumat serta maklumat yang diberikan adalah dirahsiakan dan tidak boleh didedahkan kepada sesiapa pun termasuk semasa perbicaraan di mahkamah. 

Selain itu, jelasnya, pemberi maklumat tidak boleh dikenakan apa-apa tindakan sivil, jenayah atau tatatertib akibat daripada pendedahan tersebut dan mereka juga dilindungi daripada sebarang tindakan yang memudaratkan hasil tindak balas pendedahan yang telah dibuat. 

Pada masa yang sama, tambah beliau, perlindungan turut diberikan kepada mereka yang mempunyai kaitan atau hubungan dengan pemberi maklumat, seperti yang diperuntukkan mengikut akta tersebut.

Bagi Akta Perlindungan Saksi 2009 pula, jelas Azam, individu terbabit boleh diberi pembayaran sara hidup dan tempat tinggal selain diberi identiti baharu bagi memastikan keselamatan mereka tidak terancam ekoran daripada laporan rasuah yang dibuat. 

Untuk makluman, kata Azam, Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 sebenarnya boleh digunakan oleh semua agensi penguat kuasa bagi membolehkan siasatan dijalankan secara lanjut dan sehingga hari ini, rekod telah menunjukkan bahawa SPRM merupakan agensi yang banyak menggunakan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 dalam menjalankan siasatan.

Sebagai contoh, katanya, sebelum ini, terdapat beberapa kes yang mana pemberi maklumat diberi pampasan kerana mengalami kerugian selepas membuat laporan kepada SPRM. 

Justeru, tambahnya, bagi mereka yang dikenakan tindakan tidak wajar selepas membuat laporan tentang rasuah kepada SPRM, aduan boleh dibuat kepada suruhanjaya ini bagi membolehkan SPRM mengambil tindakan ke atas pihak terbabit sehingga boleh dituduh di mahkamah. 

Mengambil kesempatan ini juga, Azam menegaskan adalah penting untuk membuat laporan kepada SPRM tentang salah laku rasuah kerana tindakan tersebut merupakan satu langkah wajar bagi memperbetulkan sistem atau budaya serta tadbir urus sesebuah agensi agar tidak terus terjerumus dengan aktiviti rasuah.

Beliau turut mengingatkan masyarakat umum bahawa adalah menjadi satu kesalahan jika seseorang itu tidak melaporkan aktiviti rasuah dan boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 25 Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Jelasnya, seperti yang diketahui umum, kes pertama yang didakwa mengikut Seksyen 25 Akta SPRM 2009 ialah kes membabitkan lima kakitangan Kementerian Kewangan yang didenda RM1,500 dan RM2,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 2 Disember tahun lepas atas pertuduhan gagal melaporkan kesalahan sogokan kepada SPRM.

Oleh itu, katanya, adalah menjadi tanggungjawab dan kewajipan seseorang individu untuk melaporkan kegiatan rasuah demi kepentingan masyarakat dan negara dan bukan sekadar cakap dan menyalahkan SPRM setiap kali isu berkaitan rasuah berbangkit.

Tambahnya, masyarakat perlu yakin dengan peruntukan undang-undang sedia ada kerana undang-undang di negara ini digubal untuk menjamin dan melindungi keselamatan serta kebajikan rakyat yang mana tiada alasan bagi orang ramai untuk tidak melaporkan jenayah rasuah kerana masa depan negara adalah terletak dalam tengan setiap individu di negara ini. 

Justeru, beliau menyeru rakyat Malaysia supaya berani tampil untuk melaporkan kegiatan rasuah kerana kerjasama daripada semua pihak amat diperlukan bagi memastikan jenayah rasuah di negara ini dibasmi secara berkesan dan habis-habisan sekali gus mencapai matlamat negara bersih dan sifar rasuah.

Hit : 4117