Berita Terkini

APEC ACTWG Secara Maya Sebar Luas Mesej Antirasuah

Putrajaya, 19 Feb. – Mesyuarat APEC Anti-Corruption and Transparency Experts Working Group (ACTWG) ke 32 yang melibatkan 19 ekonomi telah diadakan secara maya hari ini.

Mesyuarat ini telah dipengerusikan oleh Ms. Julie Read, Director and Chief Executive, Serious Fraud Office (SFO) New Zealand.

Negara anggota APEC yang turut serta adalah Australia, Brunei Darussalam, Kanada, Chile, China, Hong Kong, Indonesia, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Republik Korea, Republik Filipina, Rusia, Singapura, China Taipei, Thailand, Amerika Syarikat, dan Vietnam.

Ms. Julie Read telah mengucapkan tahniah kepada SPRM di atas penganjuran 'Gender Mainstreaming and Women Empowerment to Fight Corruption' yang diadakan pada Februari 2020 dan penganjuran Mesyuarat ACTWG ke 31.

Sebagai menyahut seruan untuk memastikan agenda 'Gender Mainstreaming' ini disambung, pihak New Zealand akan menganjurkan satu mesyuarat secara maya selepas ini secara 'webinar' dengan menggunakan tajuk yang sama.

Di dalam mesyuarat ini, SPRM telah membentangkan usaha-usaha yang telah diambil untuk membanteras rasuah melalui strategi penguatkuasaan, pencegahan dan pendidikan sebagaimana tertakluk di dalam Akta SPRM 2009 yang juga selari dengan Deklarasi Beijing tentang Melawan Rasuah.

Antaranya dalam usaha berterusan bagi mendapatkan semula dana 1MDB, kerjasama antarabangsa dalam siasatan kes rasuah dan menilai serta mengambil tindakan atas setiap aduan yang diterima.

Dalam usaha untuk mendidik nilai antirasuah di Malaysia, Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM aktif dalam menganjurkan aktiviti, kempen dan promosi dalam menyebarkan mesej antirasuah.

Sempena dengan Hari Antirasuah Antarabangsa pada Disember 2020, SPRM telah memberi fokus kepada isu pencegahan rasuah di kalangan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh Malaysia dengan penglibatan pegawai SPRM di ibu pejabat dan negeri.

Sementara itu, seperti dipersetujui oleh ahli-ahli semasa mesyuarat ACTWG sebelum ini,
Malaysia akan menyediakan dan menghasilkan kompilasi berkaitan amalan baik mengandungi polisi dan langkah-langkah pencegahan rasuah semasa pandemik Covid-19 sebagai salah satu agenda Pelan Kerja ACTWG 2021.

Wakil SPRM dalam mesyuarat ini telah diketuai oleh Pengarah Bahagian Dasar, Perancangan dan Penyelidikan SPRM, TPj Mohd Hafaz Nazar.


Hit : 1780