Kenyataan Media

Pelantikan Datuk Seri Azam Baki Sebagai KP SPRM Baharu

tyle="text-align: justify;">

PADA hari ini Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah memperkenan dan melantik saya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu berkuat kuasa 9 Mac 2020.

Pada kesempatan ini, saya ingin menjunjung kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di atas perkenan Tuanku melantik saya ke jawatan ini.

Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang telah mencadangkan nama saya Kebawah Duli Tuanku.

Selain daripada itu, saya mewakili seluruh warga SPRM mengucapkan ribuan terima kasih atas sumbangan dan jasa Puan Latheefa Koya sepanjang tempoh beliau memegang jawatan sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang ke-14 kerana telah berjaya memimpin SPRM dengan baik dan cemerlang.

DATUK SERI AZAM BAKI
KETUA PESURUHJAYA
SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
PUTRAJAYA
9 MAC 2020

LATAR BELAKANG YBHG. DATUK SERI HAJI AZAM BAKI

YBhg. Datuk Seri Azam Baki, 57, memulakan kariernya di Badan Pencegah Rasuah (BPR) pada tahun 1984 sebagai Penolong Pegawai Siasatan.

Sejak memasuki perkhidmatan BPR ketika itu, beliau telah menjalankan tugas sebagai Pegawai Penyiasat, Pegawai Perisikan, Pegawai Pendakwaan serta menjalankan tugas sampingan dalam aktiviti pendidikan masyarakat.

Beliau yang mempunyai kelulusan Diploma Kejuruteraan Elektrik (Kuasa) daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Ijazah Undang-undang (Jurispruden) daripada Universiti Malaya dan Sarjana daripada Asia E-University, telah berkhidmat melebihi 35 tahun. Pengalaman luas meliputi pelbagai bidang dalam dan luar SPRM telah mendorong beliau dalam mengharungi perjalanan kerjaya yang lebih baik sehingga menyandang jawatan tertinggi sebagai Pengarah Perisikan (2013), Pengarah Siasatan (2015) dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) (2016).

Sepanjang kariernya, beliau berpengalaman luas dalam penyiasatan kes-kes berprofil tinggi seperti yang dilaporkan di media. Antaranya membongkar kes ‘lesen terbang’ pada tahun 2000, yang mana beliau merupakan perancang siasatan kes berkenaan dengan kejayaan lebih 100 individu ditangkap serta 100,000 ‘lesen terbang’ telah disenarai hitam. Daripada kes tersebut, kerajaan telah menambah baik sistem ujian lesen memandu percubaan secara manual ke sistem berkomputer seperti yang ada sekarang.

Beliau juga merupakan pelopor kepada kaedah sistem pelucutan hak harta dengan menggunakan Akta Pencegahan Rasuah 1997, Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan, Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2010 (AMLATFPUAA).

Selain itu, beliau merupakan penggerak dan perancang kepada kaedah penyiasatan operasi undercover dan kaedah penyiasatan kes-kes berprofil tinggi. Kaedah yang diperkenalkan telah diguna pakai secara meluas oleh SPRM sejak 2013 sehingga sekarang.

Kaedah ini telah menyebabkan SPRM menghasilkan pelbagai kes berprofil tinggi dan berkepentingan awam seperti Ops Water Gate, 1MDB, SRC International Sdn. Bhd. dan kes pegawai kanan kerajaan seperti Setiausaha Bahagian dan Ketua Setiausaha dan ramai lagi orang kenamaan.

 

Muat Turun

Hubungi Kami

Ibu Pejabat SPRM
No. 2, Lebuh Wawasan,
Presint 7, 62250 Putrajaya.

+603-8870 0000
+603-8870 0901

Hak Cipta Terpelihara © 2020 Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Penafian |  Dasar Keselamatan |  Notis Hakcipta |  Dasar Privasi |