Kenyataan Media

BPR/SPRM Jalankan Siasatan Terhadap Akaun Bersumpah Dato’ Abdul Murad

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memandang serius kenyataan yang dibuat oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada sidang media bertarikh 22 Januari 2024.

Tun Mahathir telah membuat tohmahan bahawa SPRM tidak menjalankan siasatan terhadap perkara-perkara yang dibangkitkan dalam akuan bersumpah bekas Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia, Dato’ Abdul Murad bin Khalid terhadap Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Berdasarkan rekod SPRM, Badan Pencegah Rasuah (BPR) ketika itu, telah membuka sebanyak enam kertas siasatan untuk menyiasat Dato’ Seri Anwar susulan akuan bersumpah Dato’ Abdul Murad yang telah dikeluarkan pada 26 Oktober 1999.

Siasatan telah dijalankan secara mendalam, menyeluruh dan terperinci dengan bantuan Bank Negara Malaysia termasuk di dalam dan luar negara seperti United Kingdom dan Singapura. Hasil siasatan menunjukkan tiada sebarang kes terhadap Dato’ Seri Anwar.

Sehubungan itu, enam kertas siasatan tersebut telah dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara pada 12 Ogos 2002 dan Pejabat Peguam Negara telah memutuskan tiada pertuduhan dikenakan kepada mana-mana pihak.

Justeru, SPRM ingin menekankan bahawa dakwaan BPR/SPRM tidak menjalankan siasatan terhadap Dato’ Seri Anwar berhubung akuan bersumpah Dato’ Abdul Murad adalah tidak benar sama sekali malah perkara tersebut berlaku semasa kepimpinan Tun Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri.

SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
PUTRAJAYA

24 JANUARI 2024


Muat Turun

Hubungi Kami

Ibu Pejabat SPRM
No. 2, Lebuh Wawasan,
Presint 7, 62250 Putrajaya.

+603-8870 0000
+603-8870 0901

Hak Cipta Terpelihara © 2020 Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Penafian |  Dasar Keselamatan |  Notis Hakcipta |  Dasar Privasi |